Isnin, Oktober 10, 2011

Keluaran Bersama Malaysia - Indonesia (8 Ogos 2011)

Pengenalan

Malaysia dan Indonesia merupakan negara serumpun yang juga disebut sebagai Nusantara. Terdapat pelbagai persamaan di antara kedua-dua negara yang saling berkait rapat ini. Secara peribadi saya sendiri merupakan generasi ketiga suku kaum Banjar dari Padjukungan dan Tungkal, Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia. Arwah datuk saya merantau lalu menetap di Tanah Melayu sebelum zaman kemerdekaan lagi dan mendapat kerakyatan Malaysia. Saya amat bersyukur kerana menjadi salah seorang rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya ini.

Oleh yang demikian, keluaran bersama antara Malaysia dan Indonesia ini amatlah saya nantikan kerana selain daripada minat saya yang mendalam terhadap tema ini, ia juga merupakan keluaran bersama ketujuh dalam sejarah setem keluaran bersama Malaysia, sekaligus secara tidak langsung menambahkan lagi koleksi setem keluaran bersama Malaysia saya. Keluaran ini juga merupakan yang keempat dijayakan bersama negara-negara ASEAN.

Secara umumnya, setem keluaran bersama yang bertajuk Keluaran Bersama Malaysia - Indonesia ini dikeluarkan tepat pada masanya dalam usaha menjernihkan hubungan kedua-dua buah negara yang dilanda pertelingkahan kecil pada tahun-tahun kebelakangan ini. Namun, segala permasalahan berjaya diatasi bersama menerusi pendekatan adik-beradik. Seperti yang tercatat pada risalah Malaysia dan Indonesia, setem keluaran bersama ini dihasilkan untuk memupuk kefahaman dan hubungan silaturrahim di kalangan rakyat kedua-dua buah negara yang memiliki banyak persamaan serta mengajak kita untuk merenung kembali sejarah masing-masing dengan tujuan membina cita-cita bersama ke arah keamanan, pembangunan dan kemakmuran kedua-dua buah negara.

Keluaran Bersama Malaysia - Indonesia ini agak menarik kerana masing-masing bukan hanya mengeluarkan satu atau dua reka bentuk setem, tetapi lapan reka bentuk semuanya dengan empat reka bentuk setem mewakili Malaysia dan empat reka bentuk setem lagi mewakili Indonesia. Empat tema utama digunakan pada reka bentuk setem-setem ini iaitu tugu kebangsaan, matawang pertama selepas kemerdekaan, setem pertama selepas kemerdekaan dan spesies ayam hutan.

Ciri-Ciri & Perbezaan

Setem ini dikeluarkan pada 8 Ogos 2011. Sebanyak lapan setem dikeluarkan dalam satu lembaran setem oleh Pos Malaysia dengan denominasi 90 sen setiap satu (RM7.20 bagi sehelai lembaran setem). 90 sen merupakan tarif penghantaran surat tidak lebih 20 gram ke serata negara ASEAN. Manakala sebanyak lapan setem juga dikeluarkan oleh Pos Indonesia  dengan denominasi Rp 2,500 setiap satu (kira-kira 90 sen) dalam dua format berbeza, iaitu dalam satu lembaran setem (bernilai Rp 20,000 atau kira-kira RM7.00) dan dalam dua lembaran setem yang diasingkan setem-setem yang mewakili Indonesia dan Malaysia (bernilai Rp 80,000 atau kira-kira RM27.98). Saiz setem bagi kedua-dua buah negara adalah sama, iaitu 40mm lebar dan 30mm panjang. Namun begitu, keluaran bersama ini saya klasifikasikan sebagai setem seiras (identical) atas sebab-sebab berikut:
  • Terdapat perbezaan dari segi format keluaran, Pos Malaysia mengeluarkan dua jenis format, iaitu empat setem setenant dalam lembaran setem dengan tebukan dan lembaran setem tanpa tebukan.
  • Pos Indonesia juga mengeluarkan setem ini dalam dua jenis format, iaitu lapan setem berasingan dalam dua lembaran setem (full sheet menurut istilah Pos Indonesia) dan empat setem setenant dalam satu lembaran setem (mini sheet menurut istilah Pos Indonesia).
  • Selain nama negara, tahun keluaran, denominasi, nama tema dalam bahasa masing-masing dan Bahasa Inggeris, setem-setem keluaran Pos Malaysia memaparkan tajuk keluaran dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, manakala setem-setem keluaran Pos Indonesia hanya memaparkan tajuk keluaran dalam Bahasa Indonesia sahaja, tambahan pula setiap keping setem ditandakan dengan nombor reka bentuk masing-masing, daripada 1/8 hingga 8/8.
  • Susunan setem pada mini sheet Indonesia agak pelik. Oleh kerana cuba untuk memberikan persamaan dengan keluaran lembaran Malaysia, setem-setem Indonesia disusun dengan janggal, bermula dengan nombor 5/8 dan kemudiannya 1/8. Adalah lebih baik sekiranya setem yang mewakili reka bentuk Indonesia diletakkan di sebelah kiri agar susunannya lebih teratur.
  • Setem Indonesia mempunyai  kod produk tersendiri, full sheet ditandakan dengan kod 111112, manakala mini sheet ditandakan dengan kod 111312 dan sampul surat hari pertama ditandakan dengan kod 112112.
  • Setem Malaysia dicetak secara penuh manakala setem Indonesia mempunyai bingkai berwarna putih.
  • Warna dan gambar setem-setem keluaran Pos Malaysia lebih terang dan jelas berbanding setem-setem keluaran Pos Indonesia yang agak kabur dan pudar. Selain itu, saiz gambar Matawang ORI dan Setem Tentera Surakarta pada setem-setem Keluaran Pos Malaysia besar sedikit berbanding setem-setem keluaran Pos Indonesia.
  • Terdapat sedikit perbezaan pada gambar Tugu Negara Malaysia bagi kedua-dua setem Malaysia dan Indonesia. Bendera Malaysia berkibar ke sebelah kanan pada setem Malaysia berbanding ke sebelah kiri pada setem Indonesia. Berkemungkinan Bendera Malaysia pada setem Indonesia diubah suai sedikit bagi mengelakkan ia bertindih dengan nama negara Indonesia.
  • Terdapat kesilapan kecil pada setem-setem keluaran Pos Malaysia, nama saintifik kedua-dua ayam yang dipaparkan sepatutnya ditulis sebagai Gallus gallus dan Gallus varius, bukannya Gallus Gallus dan Gallus Varius.
Jadual di bawah menerangkan butiran teknikal dan keterangan ringkas berkenaan reka bentuk setem-setem kedua-dua buah negara.

Butiran Teknikal Setem
Nama Negara
Malaysia
Indonesia
Tajuk Keluaran
Keluaran Bersama Malaysia - Indonesia
Malaysia - Indonesia Joint Issue
Penerbitan Prangko Bersama Indonesia - Malaysia
Indonesia - Malaysia Joint Issue of Stamp
Saiz Setem
40mm x 30mm
40mm x 30mm
Tebukan
14
12.75 x 13.50
Kertas
Tera Air SPM, Bersalut Fosfor
Tullis Russel, Pelekat PVA
Proses Percetakan
Litografi
Offset
Pereka Bentuk Setem
Peter Chuah,
Orient Communications
Tata Sugiarta,
Creativa Vistama
Pencetak
Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd.
Perum PERURI
Kuantiti Keluaran
  • 125,000 (lembaran dengan tebukan)
  • 25,000 (lembaran tanpa tebukan)
  • 300,000 (full sheet)
  • 50,000 (mini sheet)
  
Keterangan Ringkas Reka Bentuk Setem
Gambar dan Nama Pada Setem Malaysia
Gambar dan Nama Pada Setem Indonesia
Keterangan Ringkas
Tugu Negara Malaysia
Malaysia’s National Monument
Tugu Negara Malaysia
Malaysia’s National Monument
Tugu Peringatan Negara
Tugu ini dirasmikan pada 8 Februari 1966 bagi memperingati jasa dan pengorbanan lebih 11 ribu perajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1939-1945) dan Darurat (1948-1960). Tugu gangsa setinggi 15 meter ini direka bentuk oleh pengukir dari Austria bernama Felix de Weldon.
Tugu Proklamasi
Proclamation Monument
Monumen Proklamasi
Indonesia’s Proclamation Monument
Tugu Proklamasi
Dikenali juga sebagai Tugu Petir, ia dibina di halaman bekas tapak kediaman Presiden Soekarno. Ia dirasmikan pada 17 Ogos 1972, manakala patung Soekarno dan Hatta sedang membaca proklamasi dirasmikan oleh Presiden Soeharto pada 17 Ogos 1980.
Matawang Pertama Malaysia Selepas Merdeka
Malaysia’s First Currency Issued After Merdeka
Matawang Pertama Malaysia Selepas Merdeka
Malaysia’s First Currency Issued After Merdeka
Satu Ringgit Malaya and British Borneo Keluaran Tahun 1959
Wang kertas pertama selepas kemerdekaan dengan nilai 1 dollar dikeluarkan pada 1 Mac 1959 dan mula diedarkan ke seluruh negara pada 1 Jun 1959. Wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai di seluruh Malaya, Singapore, Sarawak dan Borneo Utara (kini Sabah). Ia ditandatangani oleh Tun Henry Lee Hau-shik (Tun H.S. Lee) selaku Menteri Kewangan Malaysia yang pertama.
Matawang ORI
ORI Banknote
Oeang Repoeblik Indonesia
ORI Banknote
Lima Sen Oeang Repoeblik Indonesia (ORI) Keluaran Tahun 1946
Oeang Repoeblik Indonesia atau ORI adalah matawang pertama Indonesia selepas kemerdekaan. Ia mula diedarkan ke seluruh negara pada 30 Oktober 1946. Ia ditandatangani oleh Menteri Kewangan, A.A. Maramis dan dicetak oleh Percetakan Canisius. Penggunaan matawang Jepun dan Belanda (Javasche Bank) dihentikan dengan pengenalan matawang ini.
Setem Pertama Malaysia Selepas Merdeka
Malaysia’s First Stamp Issued After Merdeka
Setem Pertama Malaysia Selepas Merdeka
Malaysia’s First Stamp Issued After Merdeka
Setem 10 Sen Hari Kemerdekaan Keluaran Tahun 1957
Setem pertama selepas kemerdekaan berdenominasi 10 sen ini dicetak menggunakan teknik intaglio. Ia memaparkan wajah Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri yang pertama dan berlatar belakangkan rakyat Malaysia yang melambai ke arah kapal layar dan merpati yang melambangkan perdamaian dan permulaan langkah sebagai negara yang baharu merdeka.
Setem Tentera Surakarta
Surakarta Military Stamp
Prangko Militer Surakarta
Surakarta Military Stamp
Setem 15 Rupiah Pemerintah Militer Surakarta Keluaran Tahun 1949
Setem Pemerintah Tentera Daerah Surakarta ini merupakan setem yang diterbitkan pada waktu darurat bagi melambangkan semangat pantang mengalah rakyat Indonesia kepada pencerobohan kali kedua oleh tentera Belanda. Ia diterbitkan pada bulan Ogos 1949, dicetak dengan warna biru, tanpa tebukan dan pelekat, berdenominasi 15 rupiah. Kini, hanya tinggal kurang daripada 50 keping setem ini yang masih wujud dan menjadikannya ‘Permata Filateli Indonesia’.
Ayam Hutan Merah
Gallus Gallus
Ayam Hutan
Gallus gallus (The Red Jungle Fowl)
Ayam Hutan Merah Jantan
Ayam Hutan Merah merupakan ayam yang biasa ditemui di negara India Utara, Nepal, Myanmar, Thailand, Vietnam, Malaysia dan Sumatera. Namun kini spesies asli ayam ini sangat sukar ditemui kerana berlakunya proses kacukan antara ayam hutan dan ayam kampung.
Ayam Hutan Hijau
Gallus Varius
Ayam Hutan Hijau
Gallus varius
Ayam Hutan Hijau Jantan
Istilah kurang tepat bagi ayam ini ialah Bekisar. Ayam dengan sayap berwarna hijau tua dan jingga ini hanya boleh ditemui di Pulau Jawa, Bali, Flores, Komodo, Lombok dan pulau-pulau kecil lain di sekitarnya.

Brosur kedua-dua negara banyak memberi maklumat berguna terutamanya brosur Indonesia. Namun begitu, terdapat banyak kesalahan ejaan dan fakta terutamanya pada brosur Malaysia. Contoh paling ketara ialah berkenaan Setem Tentera Surakarta, keterangan berkenaan setem ini tidak dinyatakan langsung pada brosur Malaysia, sebaliknya keterangan tentang setem yang tidak berkaitan dinyatakan pada brosur tersebut. Selain itu, terdapat kesilapan tarikh edaran Matawang ORI (sepatutnya 30 Oktober tetapi dinyatakan 3 Oktober pada brosur Malaysia). Pada brosur Indonesia, dinyatakan bahawa Tugu Negara dirasmikan pada 8 Februari 1996 (tarikh sebenar ialah 8 Februari 1966). Selain itu, kenyataan Tunku Abdul Rahman melambai ke arah rakyat juga tidak tepat, kerana pada gambar setem itu hanya memaparkan wajah Tunku Abdul Rahman sedang bercakap menggunakan mikrofon manakala latar belakang rakyat pula melambai ke arah kapal layar dan burung merpati.

Selain Setem, Apa Lagi?

Pos Malaysia Berhad mengeluarkan setem dalam bentuk lembaran dengan tebukan dan lembaran tanpa tebukan, sampul surat hari pertama dan folder. Manakala PT Pos Indonesia mengeluarkan setem dalam bentuk full sheet dan mini sheet serta sampul surat hari pertama. Kedua-dua negara juga mengeluarkan sampul kenangan (atau Sampul Terpadu menurut istilah Pos Indonesia) bagi memperingati keluaran bersama ini. Untuk keluaran bersama kali ini, pengeluaran sampul kenangan ini mempunyai ceritanya yang tersendiri.

Pos Malaysia menerima sejumlah 5,000 keping sampul surat hari pertama kosong daripada Pos Indonesia. Seperti keluaran bersama sebelum ini, rancangan asal pengeluaran sampul kenangan adalah dengan melekatkan setem kedua-dua negara pada sampul surat hari pertama. Namun begitu, kekurangan sampul surat hari pertama Malaysia memaksa Pos Malaysia mengeluarkan sampul kenangan menggunakan sampul surat hari pertama Indonesia. Dipercayai hanya sebanyak 2,500 keping sampul kenangan sahaja dikeluarkan. Setakat ini terdapat empat variasi berbeza untuk sampul kenangan Malaysia.
  • Jenis A: 2 setem setenant Malaysia dilekat bersama 2 setem setenant Indonesia pada 2 keping sampul surat hari pertama Indonesia.
  • Jenis B: 2 setem setenant Malaysia dilekat bersama 4 setem Indonesia pada 2 keping sampul surat hari pertama Indonesia.
  • Jenis C: 2 setem setenant Malaysia dilekat bersama 2 setem setenant Indonesia pada 2 keping sampul surat hari pertama Malaysia.
  • Jenis D: 2 setem setenant Malaysia dilekat bersama 4 setem Indonesia pada 2 keping sampul surat hari pertama Malaysia.
Pos Indonesia pula mengeluarkan sampul kenangan (Sampul Terpadu) dalam dua reka bentuk berbeza.  Pada mulanya mereka hanya mengeluarkan 100 keping sampul kenangan reka bentuk pertama dan ia habis terjual di laman web filateli mereka dalam tempoh 2 hari sahaja. Beberapa minggu kemudian mereka mengeluarkan reka bentuk kedua dan kali ini mereka mengeluarkannya sebanyak 1,000 keping.
  • Reka bentuk A: Setem Malaysia dalam bentuk blok-8 dilekat bersama Setem Indonesia dalam bentuk blok-8. Sebanyak 100 keping sahaja dikeluarkan.
  • Reka bentuk B: Setem Malaysia dalam bentuk blok-8 dilekat bersama Setem Indonesia dalam bentuk blok-8. Sebanyak 1,000 keping sahaja dikeluarkan.
Ada dijual di mana?

Set lengkap setem Malaysia dan setem Indonesia serta sampul surat hari pertama keluaran kedua-dua negara masih boleh didapati di eBay dan Delcampe dengan mudah. Malah, kedua-dua set setem ini masih boleh didapati di laman web jualan Pos Malaysia Berhad dan PT Pos Indonesia. Namun begitu, agak sukar untuk mencari sampul kenangan Malaysia dan Indonesia kerana kuantiti keluaran yang terhad. Namun begitu, saya cuba untuk membantu melengkapkan koleksi anda dengan menawarkan beberapa keping sampul kenangan Malaysia dan Indonesia untuk dijual. Sila ke laman jualan eBay saya untuk maklumat lanjut.