Sabtu, Mei 01, 2010

Keluaran Bersama Malaysia - Brunei Darussalam: Hidupan Laut Yang Unik (6 Februari 2007)

Pengenalan

Setelah menyepi hampir 3 tahun, akhirnya Malaysia mengeluarkan setem keluaran bersama keempatnya pada tahun 2007. Pada kali ini, satu lagi negara jiran terdekat, Brunei Darussalam bekerjasama dengan Malaysia bagi menjayakan setem keluaran bersama yang diberi tajuk Hidupan Laut Yang Unik. Keluaran bersama ini pada mulanya dijadualkan pada penghujung tahun 2006, namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, ianya ditunda setahun kemudian.

Pada keluaran bersama ini, dipaparkan empat jenis hidupan laut yang terdapat di sekitar perairan Malaysia Timur dan Brunei Darussalam. Ikan jenis Leaf Scorpionfish dan Orangestriped Triggerfish menghiasi setem keluaran kedua-dua buah negara. Manakala hidupan purba Chambered Nautilus dan ikan jenis Spotted Boxfish menghiasi lembaran mini. Setem keluaran bersama ini dikeluarkan bagi meraikan kerjasama erat antara Pos Malaysia Berhad dan Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Perhubungan, Brunei Darussalam.


Ciri-Ciri & Perbezaan

Setem ini dikeluarkan pada 6 Februari 2007. Malaysia dan Brunei Darussalam mengeluarkan jumlah setem dan lembaran mini yang sama. Iaitu 2 reka bentuk setem dan 1 lembaran mini yang mengandungi 2 setem di dalamnya. Setem-setem Malaysia bernilai 50 sen setiap satu dan lembaran mini bernilai RM2.00 (RM1.00 x 2 keping setem). Manakala setem-setem Brunei Darussalam pula bernilai B$0.60 setiap satu (kira-kira RM2.80 - RM1.40 satu setem), dan lembaran mini bernilai B$2.00 (kira-kira RM4.66 - RM2.33 satu setem).

Untuk keluaran Malaysia - Brunei Darussalam ini, saya mengklasifikasikannya sebagai serupa (similar) atas sebab-sebab berikut:
  • Terdapat perbezaan pada warna latar belakang setem Orangstriped Triggerfish. Setem Malaysia menggunakan latar belakang berwarna hijau manakala setem Brunei Darussalam menggunakan latar belakang berwarna biru gelap.
  • Perbezaan juga dapat dilihat pada latar belakang setem Leaf Scorpionfish. Terumbu karang jelas kelihatan pada belakang ekor ikan setem Malaysia, manakala latar belakang yang sama tidak jelas kelihatan pada setem Brunei Darussalam. Saiz ikan setem Malaysia juga lebih besar berbanding saiz ikan setem Brunei Darussalam.
  • Warna latar belakang lembaran mini dan setem dalam lembaran mini kedua-dua negara juga berbeza. Latar belakang lembaran mini Malaysia lebih terang berbanding lembaran mini Brunei Darussalam. Selain daripada itu, lukisan terumbu karang, obor-obor dan umang-umang pada lembaran mini Malaysia lebih jelas berbanding lembaran mini Brunei Darussalam.
  • Terdapat sedikit perbezaan format kedudukan setem pada lembaran mini kedua-dua buah negara. Kedudukan setem-setem Malaysia berada di bawah sedikit berbanding kedudukan setem-setem Brunei Darussalam. Tajuk keluaran lembaran mini Malaysia terletak di atas, berbanding tajuk keluaran lembaran mini Brunei Darussalam yang terletak di bawah.
  • Dari segi keseragaman, setem-setem dan lembaran mini Malaysia lebih seragam berbanding setem-setem dan lembaran mini Brunei Darussalam. Saya merujuk kepada penggunaan nama-nama ikan, Malaysia hanya memaparkan nama-nama ikan dalam Bahasa Inggeris dan nama saintifik. Brunei Darussalam pula memaparkan nama-nama ikan dalam Bahasa Melayu Brunei, Bahasa Inggeris dan nama saintifik. Walaupun Brunei Darussalam ada memaparkan nama-nama ikan dalam Bahasa Melayu Brunei dalam tulisan jawi, namun hanya nama Ikan Babakan Takat dan Ikan Buntal Kaban Berbintik sahaja yang dipaparkan. Sedangkan nama Ikan Scorpion dan Siput Kurita Berkebuk tidak dipaparkan dalam tulisan jawi. Dengan itu, setem-setem dan lembaran mini Brunei Darussalam kelihatan kurang seragam.

Setem dan lembaran mini Malaysia direka bentuk oleh Reign Associates Sdn. Bhd. Dicetak menggunakan teknik lithography oleh Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd., menggunakan kertas tera air SPM. Kesemua setem bersaiz 40mm lebar dan 30mm panjang. Saiz lembaran mini pula ialah 100mm lebar dan 70mm panjang, dengan saiz setem dalam lembaran mini berukuran 40mm panjang dan 30mm lebar. Saiz tebukan bagi kesemua setem ialah 14.


Setem dan lembaran mini Brunei Darussalam pula direka bentuk oleh Awang Ali bin Hj Abd Rahim. Dicetak di Malaysia menggunakan teknik offset lithography oleh Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd., menggunakan kertas tera air SPM. Kesemua setem bersaiz 40mm lebar dan 30mm panjang. Saiz lembaran mini pula ialah 100mm lebar dan 70mm panjang, dengan saiz setem dalam lembaran mini berukuran 40mm panjang dan 30mm lebar. Saiz tebukan bagi kesemua setem ialah 14. Maklumat berkenaan ikan yang dipaparkan dalam setiap setem disediakan oleh Jabatan Perikanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Brunei Darussalam.

Mungkin ramai yang sedia maklum bahawa terdapat beberapa keluaran setem Brunei Darussalam dicetak di Malaysia. Jika tidak kerana berbeza pereka bentuk antara kedua buah negara, setem-setem ini boleh diklasifikasikan sebagai Setem Omnibus. Berdasarkan rujukan saya dalam jurnal yang dikeluarkan oleh IPS-JSIC, Setem Omnibus ialah setem-setem yang direka bentuk oleh pereka bentuk yang sama, serta dicetak oleh pencetak yang sama. Ianya tidak diiktiraf sebagai keluaran bersama yang sebenar kerana hanya satu negara sahaja yang mengeluarkan setem bagi negara-negara lain. Bagi menjimatkan kos percetakan, kedua-dua negara masih mengekalkan tahun 2006 pada setiap setem dan lembaran mini walaupun setem ini dikeluarkan secara rasmi pada tahun 2007. Ia dilaporkan sepatutnya dikeluarkan pada bulan November atau Disember 2006 namun ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Selain Setem, Apa Lagi?

Pos Malaysia Berhad mengeluarkan setem, lembaran mini, sampul surat hari pertama dan folder. Manakala Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Perhubungan, Brunei Darussalam pula mengeluarkan setem, lembaran mini dan sampul surat hari pertama. Kedua-dua buah negara juga mengeluarkan sepucuk sampul surat hari pertama campuran (juga dikenali sebagai sampul kenangan) yang mengandungi 4 keping setem Malaysia dan Brunei Darussalam.

Sampul Kenangan Keluaran Pos Malaysia Berhad

Sampul kenangan ini dikeluarkan dalam kuantiti yang amat terhad. Di Malaysia, ia hanya ditawarkan kepada pemegang akaun SODA. Manakala di Brunei Darussalam, kebanyakan sampul surat ini dibeli oleh pengumpul setem dari luar negara. Maka tidak hairanlah jika pengumpul-pengumpul setem dari Brunei Darussalam sendiri mencari setem, sampul surat hari pertama dan sampul kenangan keluaran bersama negara mereka ini di Malaysia dan negara-negara lain.

Sampul Kenangan Keluaran Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Perhubungan, Brunei Darussalam

Ada dijual di mana?

Setem, lembaran mini dan sampul surat hari pertama Malaysia masih boleh didapati di eBay dan Delcampe dengan mudah. Manakala setem, lembaran mini bahkan sampul surat hari pertama Brunei Darussalam sangat sukar ditemui. Sekiranya ada, pasti ia dijual pada harga yang tinggi. Saya sendiri hanya dapat melengkapkan koleksi keluaran bersama ini apabila berjaya memenangi bidaan di eBay pada tahun 2007. Ketika itu saya memenangi bidaan setem dan lembaran mini Brunei Darussalam pada harga USD 12.00 (kira-kira RM40.00 ketika itu) daripada seorang penjual setem dari Singapore. Penjual setem yang sama juga berjaya menjual setem dan lembaran mini Brunei Darussalam pada harga USD 30.00 (kira-kira RM98.00) pada bidaan berikutnya. Jelas menunjukkan setem dan lembaran mini Brunei Darussalam sangat terhad dan ramai yang sanggup membayar dengan harga yang tinggi untuk memilikinya.

Pada awal 2010, akhirnya saya berjaya juga memiliki sampul kenangan Malaysia dan Brunei Darussalam setelah hampir 3 tahun mencari di eBay dan Delcampe. Sampul-sampul ini dibeli pada harga 14 euro (kira-kira RM60.00) daripada seorang penjual setem dari Netherlands. Dapatlah disimpulkan bahawa, sungguhpun setem-setem yang dikeluarkan tidaklah begitu menarik jika dibandingkan dengan keluaran bersama terdahulu, namun dari segi nilai 'jual balik' ianya amat berharga. Sekiranya anda memiliki koleksi lengkap keluaran bersama ini, ketahuilah bahawa ia merupakan antara koleksi bernilai dalam simpanan anda.