Isnin, Mac 29, 2010

Sama Tapi Tak Serupa

Menurut JSIS, terdapat empat istilah bagi menyatakan sifat setem keluaran bersama. Keempat-empat istilah ini jika diikutkan maksudnya sama dalam bahasa Melayu. Namun begitu, saya akan terjemahkannya menggunakan istilah bahasa Melayu yang paling tepat bagi memudahkan pemahaman anda semua.

Istilah-istilah bahasa Inggeris yang dimaksudkan ialah identical, same, similar dan equivalent. Setelah meneliti Kamus Dewan saya memutuskan untuk menggunakan istilah seiras, sama, serupa dan setara bagi menterjemahkan setiap istilah bahasa Inggeris yang digunakan. 

Istilah seiras (identical) merujuk kepada setem yang tiada perbezaan daripada segi reka bentuk, melainkan nama negara dan nilai setem. Namun begitu terdapat hanya sedikit perbezaan kecil pada format keluaran setem setiap negara, contohnya, susunan setem.

Istilah sama (same) pula merujuk kepada setem yang sama dan tiada langsung perbezaan yang kelihatan, menggunakan format yang sama dan warna serta saiz yang berpadanan, melainkan nama negara dan nilai setem sahaja yang berbeza.

Istilah serupa (similar) merujuk kepada setem yang hampir serupa, tetapi terdapat perbezaan daripada segi reka bentuk, warna atau saiz. Mudah terkeliru kerana ia hampir menyerupai setem seiras (identical).

Akhir sekali istilah setara (equivalent) merujuk kepada reka bentuk atau gambar yang hampir serupa dan mempunyai kaitan antaranya tetapi direka bentuk atau dilukis oleh pereka bentuk atau pelukis yang berbeza.

Diharapkan anda semua dapat memahami dengan jelas istilah-istilah yang digunakan. Artikel ini agak sukar untuk diterjemahkan. Namun begitu, berbekalkan pengalaman mempelajari subjek 'Penterjemahan Bahasa' di universiti dahulu, sedikit sebanyak ia membantu saya menterjemahkan artikel ini dengan mudah. 

Istilah Keluaran Bersama

Pada tulisan kali ini saya akan menerangkan beberapa istilah yang digunakan untuk setem keluaran bersama. Istilah ini saya ambil daripada 'Joint Stamp Issues Society (JSIS)', sebuah persatuan bebas yang dahulunya dikenali sebagai 'International Philatelic Society of Joint Stamp Issues Collectors (IPS-JSIC)'. Keahlian persatuan ini adalah percuma.

Keluaran bersama berlaku apabila dua atau lebih negara merdeka yang mempunyai jabatan atau syarikat pos yang menganggotai UPU mengeluarkan setem atau bahan-bahan filateli lain yang memiliki maksud yang sama (meraikan sesuatu ulang tahun, atau menyatakan persamaan antara negara) dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Menurut JSIS, keluaran bersama boleh dikecilkan ruang lingkup kajiannya kepada beberapa bahagian. Saya akan ulas seberapa ringkas dalam perenggan berikutnya. Berkenaan takrif keluaran bersama yang disebut pada perenggan sebelum ini, bolehlah dirumuskan bahawa:
  • keluaran bersama ialah istilah umum bagi menyatakan tema sesuatu setem yang dikeluarkan oleh dua atau lebih negara yang terlibat.
  • dua atau lebih bermaksud tiada had bilangan negara yang boleh mengeluarkan setem dengan tema ini. Namun begitu, keluaran bersama ini boleh ditakrifkan sebagai 'setem omnibus' sekiranya semua negara yang mengeluarkan setem ini menggunakan khidmat syarikat percetakan yang sama disebabkan masalah kewangan, ketiadaan syarikat percetakan di negara-negara yang terlibat atau bertujuan menjimatkan kos.
  • negara merdeka bermaksud hanya jabatan atau syarikat pos dari negara-negara merdeka sahaja yang termasuk dalam istilah keluaran bersama. Sekiranya negara yang terlibat adalah negara penjajah dan jajahan takluknya (territorial atau colonial), ianya diklasifikasikan sebagai 'territorial / colonial joint issues' (keluaran bersama negara-negara kolonial / jajahan takluk). Tetapi sekiranya terdapat negara lain yang merdeka mengeluarkan setem bersama dengan negara-negara jajahan takluk ini, maka ia boleh ditakrifkan sebagai setem keluaran bersama.
  • Jabatan atau syarikat pos yang terlibat adalah merupakan anggota UPU yang diiktiraf pada masa keluaran bersama ini berlaku.
  • setiap keluaran yang mendapat persetujuan daripada semua negara yang terlibat sejak proses mereka bentuk lagi diistilahkan sebagai keluaran bersama. Oleh yang demikian, keluaran-keluaran yang dibincangkan pada peringkat UPU atau pertubuhan-pertubuhan seperti ASEAN, OPEC, CEPT dan lain-lain boleh juga diistilahkan sebagai keluaran bersama dengan syarat terdapat perbincangan mengenai reka bentuk dan tarikh keluaran setem tersebut. Sebaliknya, sesuatu keluaran setem itu tidak boleh dianggap sebagai keluaran bersama (walaupun dikeluarkan bagi meraikan ulang tahun pertubuhan yang sama, contoh: Ulang Tahun ASEAN Ke-10) sekiranya tiada bukti yang menunjukkan kerjasama antara jabatan atau syarikat pos negara-negara yang terlibat.
  • suatu kenyataan rasmi berkenaan setem keluaran bersama mestilah dikeluarkan oleh satu atau lebih negara-negara yang terlibat. Atau dengan cara pengeluaran sampul surat hari pertama bersama rasmi antara negara. Sampul surat persendirian atau yang dicetak oleh pihak selain jabatan atau syarikat pos tidak diterima.
  • setiap keluaran bersama mestilah merupakan setem yang baharu. Setem overprint dan cetakan semula keluaran yang lepas tidak boleh diterima sebagai keluaran bersama.
  • kebiasaanya hanya setem dan lembaran mini sahaja yang dikeluarkan, namun begitu, jika ada bahan-bahan filateli yang lain dikeluarkan seperti aerogram, poskad, kad maksima, booklet dan folder, ia juga termasuk sebagai sebahagian daripada bahan-bahan filateli keluaran bersama.
  • keluaran bersama yang dikeluarkan mestilah sah untuk digunakan bagi tujuan menghantar surat. Sekiranya keluaran tersebut tiada nilai bagi tujuan menghantar surat (dikeluarkan sebagai pelekat atau setem cinderella), ia tidak boleh diterima sebagai setem keluaran bersama.
  • setem yang dikeluarkan adalah setem peringatan dan topik yang paparkan mempunyai kaitan dengan negara-negara yang terlibat. Setiap topik yang dikeluarkan mestilah dengan persetujuan semua negara yang terlibat.
  • pada kebiasaannya, setem keluaran bersama ini dikeluarkan pada tarikh yang sama. Namun begitu, mungkin disebabkan masalah teknikal atau politik sesebuah negara yang terlibat, perbezaan tarikh keluaran sehingga membawa kepada beberapa bulan masih boleh berlaku. Walau begitu, ia masih boleh diterima sebagai keluaran bersama. 
  • Keluaran bersama yang dibatalkan juga boleh termasuk dalam tema ini sekiranya maklumat rasmi berkenaan setem keluaran bersama ini telah wujud sebelum ia dibatalkan.

Ahad, Mac 28, 2010

Pengenalan


Hobi mengumpul setem telah lama 'bertapak' di dalam hati saya sejak berusia 12 tahun. Ketika itu, saya hanya menyambung koleksi simpanan abah dan abang saya yang hanya ada 2 album kecil. Ketika di universiti, saya agak rajin berhubung dengan sahabat pena dan pengumpul setem dari luar negara menyebabkan koleksi yang dahulunya hanya sekadar 4 album kecil (termasuk 2 album yang disebut sebelum ini), bertambah menjadi 12 buah album pelbagai saiz dalam masa yang singkat...

Pada ketika di universiti jugalah, saya mula 'tercari-cari' identiti sendiri dalam mengumpul koleksi setem ini. Kalau hendak kumpul semua, memanglah mustahil untuk melengkapkan koleksi setem seluruh dunia... Oleh yang demikian, saya telah pun menetapkan identiti saya dalam mengumpul setem ini hanya bertumpu kepada Sampul Surat Hari Pertama Malaysia daripada tahun 1957 hingga sekarang, set setem definitif keluaran Malaya / Malaysia daripada tahun 1957 hingga sekarang, overprint dan juga set keluaran bersama Malaysia yang hanya bermula sejak tahun 2002.

Buat pengetahuan semua, Malaysia hanya mula mengeluarkan setem keluaran bersama pada tahun 2002. Setem keluaran bersama Malaysia yang pertama ialah Bunga Nadir, merupakan keluaran bersama antara Pos Malaysia Berhad dan China Post. Setem keluaran bersama bukanlah tema keluaran yang popular di Malaysia jika dibandingkan dengan China, South Korea dan Singapore, yang merupakan antara negara-negara yang begitu aktif mengeluarkan setem keluaran bersama. Kira-kira 3 ke 4 keluaran bersama dalam tempoh setahun. Malaysia hanya mengeluarkan jumlah yang sama dalam tempoh 6 tahun.

Namun begitu, setem keluaran bersama adalah sesuatu yang menarik untuk dikumpul kerana ia memaparkan persamaan yang terdapat di antara negara-negara yang terlibat, peringatan kepada sesuatu ulang tahun kerjasama diplomatik dan daripada segi reka bentuk setem itu sendiri, adalah sesuatu yang menarik apabila kita dapat lihat dua atau lebih negara menggunakan reka bentuk yang sama dalam keluaran setem negara masing-masing.

Sebelum ini saya aktif menulis blog 'Koleksi Setem Malaysia', di mana blog ini memaparkan koleksi setem keluaran Pos Malaysia. Semua maklumat setem-setem tersebut saya ambil daripada brosur bagi setiap keluaran. Blog tersebut hanya 'bertahan' selama kira-kira 2 tahun. Saya hanya mampu mengemaskini maklumat setem daripada tahun 2005 hingga 2007 sahaja. Disebabkan kesibukan kerja, saya tidak berpeluang untuk mengemaskini blog tersebut dan akhirnya saya membuat keputusan untuk menamatkan penulisan dalam blog tersebut. Banner blog tersebut saya abadikan seperti yang anda boleh lihat di permulaan tulisan ini.

Walau bagaimanapun, minat untuk menulis masih ada dan saya membuat keputusan untuk menumpukan tulisan saya hanya kepada setem keluaran bersama. Memandangkan ianya bukanlah tema yang banyak dikeluarkan oleh Pos Malaysia, maka saya tidak perlu meluangkan masa yang banyak untuk menulis. Malah dengan cara ini saya boleh berkongsi minat saya dengan lebih mendalam memandangkan saya boleh membuat ulasan yang lebih terperinci berkenaan satu-satu setem keluaran bersama ini.

Dalam blog ini saya akan paparkan koleksi setem keluaran bersama yang pernah dikeluarkan oleh Pos Malaysia Berhad dan untuk setiap keluaran bersama ini saya akan berikan pendapat peribadi saya mengenainya. Semoga anda akan mendapat manfaat dan maklumat berguna sepanjang membaca blog yang tidak seberapa ini. Terima kasih di atas kunjungan anda.