Ahad, Ogos 09, 2015

Keluaran Bersama Komuniti ASEAN (8 Ogos 2015)

Pengenalan

Keluaran bersama ini merupakan yang kesebelas dikeluarkan oleh Pos Malaysia. Ia juga merupakan keluaran bersama kedua yang diusahakan oleh kesepuluh negara-negara ASEAN. Tarikh rasmi keluaran bersama ini diterbitkan adalah pada 8 Ogos 2015. Namun begitu, Pos Malaysia hanya mula menjual keluaran bersama ini pada 10 Ogos 2015. Saya akan mengemaskini artikel ini setelah mengumpulkan semua bahan-bahan yang diperlukan. Terima kasih atas kesudian pembaca-pembaca melawat blog ini.

Rabu, Jun 10, 2015

Keluaran Bersama Malaysia - Thailand: Haiwan Marin (8 Jun 2015)

Pengenalan

Keluaran bersama ini merupakan yang kesepuluh dikeluarkan oleh Pos Malaysia. Saya akan mengemaskini artikel ini setelah mengumpulkan semua bahan-bahan yang diperlukan. Terima kasih atas kesudian pembaca-pembaca melawat blog ini.

Sabtu, November 01, 2014

Keluaran Bersama Kuala Lumpur, Malaysia - Hong Kong, China: Makanan Tempatan (9 Oktober 2014)

Pengenalan

Keluaran bersama ini merupakan yang kesembilan dalam sejarah pengeluaran setem keluaran bersama di Malaysia dan yang ketiga belas di Hong Kong, China. Untuk rekod, keluaran bersama kali ini merupakan yang kedua dalam tahun 2014 setelah keluaran bersama dengan Pos Indonesia pada 24 Mei 2014. Tahun 2014 juga merupakan kali ketiga Pos Malaysia mengeluarkan dua keluaran bersama dalam tempoh setahun, setelah kali terakhir mereka melakukannya pada tahun 2007.

Tajuk untuk keluaran bersama Pos Malaysia dan Hongkong Post ini adalah Makanan Tempatan yang menampilkan makanan-makanan yang biasa ditemui di Malaysia dan di Hong Kong, China. Malaysia sememangnya terkenal dengan Nasi Lemak dan Satay manakala Wafel Telur dan Poon Choi pula merupakan makanan yang tidak asing lagi di Hong Kong, China. Memandangkan blog ini bukanlah blog masakan, maka proses pembuatan makanan-makanan ini tidak akan diterangkan secara terperinci. Cukup hanya menerangkan serba ringkas tentang sejarah makanan-makanan yang terpilih bagi menghiasi setem keluaran bersama ini.

Secara ringkas, Nasi Lemak merupakan sajian masyarakat Melayu sejak beratus-ratus tahun lamanya. Namun begitu sejarah Nasi Lemak hanya direkodkan buat kali pertama pada tahun 1909 oleh Sir Richard Olaf Windstedt, pegawai Kerajaan British di Malaya menerusi bukunya yang bertajuk "The Circumstances of Malay Life: The kampong. The house. Furniture. Dress. Food." Nama Nasi Lemak itu sendiri terbit daripada rasa nasi yang 'berlemak' apabila dimasak bersama santan.

Satay pula merupakan makanan yang biasa ditemui di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Namun begitu, menurut penulis bidang masakan, Jennifer Brennan pada 1988 menerusi "Kitchen Daily: Satay" menyatakan bahawa walaupun Thailand dan Malaysia mengakui Satay berasal dari tempat mereka, namun Satay sebenarnya berasal dari Jawa, Indonesia. Satay diilhamkan daripada pembuatan Kebab India yang dibawa oleh pedagang India Muslim. Malah India juga tidak boleh mengaku sebagai negara asal Satay ini, kerana ia adalah warisan daripada pengaruh masakan dari Timur Tengah. Satay atau Sate ini dikatakan telah mula diperkenalkan sejak awal kurun ke-19. Satay telah diundi sebagai makanan paling lazat nombor 14 daripada 50 makanan paling lazat di dunia. Undian ini telah diadakan oleh CNN Go pada tahun 2011.

Sejarah asal-usul Wafel Telur di Hong Kong, China tidak dapat diketahui secara tepat. Ia dikatakan mula terkenal di sekitar Hong Kong, China pada tahun 1950-an. Namun begitu, ia sememangnya makanan tempatan yang paling popular di Hong Kong, China apabila tersenarai dalam rancangan televisyen "TVB: Top Eats 100" pada tahun 2012 sebagai makanan jalanan nombor 1 daripada 100 makanan jalanan paling popular di Hong Kong, China.

Poon Choi, atau secara umumnya bermaksud hidangan mangkuk besar merupakan makanan tradisi yang berasal dari perkampungan masyarakat Kantonis di New Territories, Hong Kong, China. Dikatakan Poon Choi telah mula dicipta pada penghujung zaman Dinasti Song iaitu sekitar penghujung kurun ke-13. Ia tercipta ekoran peristiwa maharaja muda Dinasti Song yang berundur ke Guandong dan Hong Kong, China daripada penaklukan tentera Mongol. Penduduk tempatan telah memasak makanan untuk dihidangkan kepada maharaja dan bala tenteranya. Oleh kerana kekurangan pinggan mangkuk, mereka telah menghidangkan makanan yang telah dimasak ke dalam beberapa bekas pencuci pinggan besar yang diperbuat daripada kayu untuk dimakan secara beramai-ramai. Secara tidak langsung, Poon Choi telah tercipta rentetan daripada peristiwa ini.

Bunga Bauhinia (Bauhinia blakeana)
Bunga Raya (Hibiscus rosa-sinensis)
Selain daripada paparan gambar-gambar makanan yang menyelerakan, setem keluaran bersama ini juga memaparkan gambar bunga kebangsaan kedua-dua buah negara dan wilayah autonomi ini serta percikan dakwat pelbagai warna yang menghiasi latar belakang pada setiap setem. Sejarah Bunga Raya (Hibiscus rosa-sinensis) secara ringkasnya telah diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pada 28 Julai 1960. Ia kekal sebagai bunga kebangsaan tatkala Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Pemilihannya sebagai bunga kebangsaan dianggap tepat kerana 5 kelopak Bunga Raya melambangkan 5 prinsip Rukun Negara yang mula diperkenalkan pada 31 Ogos 1970. Manakala Bunga Wilayah Hong Kong, China pula ialah Bunga Bauhinia (Bauhinia blakeana). Ia juga dikenali sebagai Pokok Orked Hong Kong. Ia telah dipilih sebagai bunga wilayah oleh Majlis Bandaraya Hong Kong, China pada tahun 1965. Seterusnya setelah Wilayah Hong Kong, China dikembalikan kepada Negara China pada 1 Julai 1997, Bunga Bauhinia telah digunakan sebagai simbol wilayah pada bendera, jata dan duit syiling.

Ciri-Ciri & Perbezaan

Keluaran bersama kali ini menampilkan empat makanan tempatan yang masing-masing dua mewakili Malaysia dan dua mewakili Hong Kong, China. Pembaca pasti tertanya-tanya, mengapa saya seringkali menulis nama Wilayah Hong Kong, China ini sebagai 'Hong Kong, China'? Ini kerana Hong Kong, China merupakan sebahagian daripada Negara China setelah kedaulatannya diserahkan kembali oleh United Kingdom kepada China pada 1 Julai 1997. Sehingga kini, Hong Kong, China merupakan sebuah wilayah autonomi yang dikenali sebagai "Special Administrative Region (S.A.R.).

Pembaca juga mungkin tertanya-tanya, mengapa pentadbir pos Hong Kong, China ditulis sebagai 'Hongkong Post' dan bukannya 'Hong Kong Post'? Ini kerana Hongkong Post telah ditubuhkan pada 28 Ogos 1841. Pada masa itu, nama wilayah ini kebiasaannya ditulis sebagai 'Hongkong' sehinggalah Kerajaan British Hong Kong mewartakan penggunaan nama 'Hong Kong' pada 3 September 1926. Oleh yang demikian, Hongkong Post mengekalkan namanya memandangkan institusi ini telah hampir 100 tahun beroperasi di wilayah ini. Antara institusi-institusi lain yang turut mengekalkan nama asalnya ialah Hongkong Electric dan The Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited (HSBC). Untuk makluman pembaca juga, Hong Kong Post merupakan akhbar mingguan percuma yang diterbitkan dalam Bahasa Jepun pada setiap hari Jumaat di Hong Kong, China.   

Set Setem keluaran Pos Malaysia.
Lembaran Cenderamata keluaran Pos Malaysia.
Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan tajuk keluaran yang diberikan oleh Pos Malaysia, ini kerana setem keluaran bersama ini adalah keluaran bersama antara sebuah negara dengan wilayah autonomi, dan bukannya antara sebuah ibu negara dengan wilayah autonomi. Maka dengan itu tajuk "Makanan Tempatan: Keluaran Bersama Kuala Lumpur, Malaysia - Hong Kong, China" adalah tidak tepat. Sebaliknya, Hongkong Post menggunakan tajuk yang tepat iaitu "Hong Kong, China - Malaysia Joint Issue on Local Food".

Setem keluaran bersama ini dilancarkan pada 9 Oktober 2014. Namun begitu, atas sebab-sebab yang tidak dinyatakan, Pos Malaysia hanya mula menjual keluaran ini pada 17 dan 18 Oktober 2014. Manakala di Hong Kong, China, selain jualan di kaunter pos, Hongkong Post juga ada menjual setem keluaran bersama ini di atas talian pada tarikh yang sama dengan tarikh keluaran ini dilancarkan. Sistem jualannya dibuka seawal jam 8.00 pagi dan telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Mereka mengenakan kuota 5 set bahan filateli bagi setiap pelanggan tidak kira sama ada melalui kaunter atau di atas talian.

Set Setem keluaran Hongkong Post.
Pos Malaysia dan Hongkong Post mengeluarkan set yang mengandungi empat keping setem dan lembaran cenderamata. Nilai bagi setiap setem Malaysia adalah sama iaitu RM1.40 setiap satu. Nilai RM1.40 merupakan bayaran pos bagi penghantaran surat biasa melalui udara dari Malaysia ke Hong Kong, China yang tidak melebihi 20 gram. Manakala setem-setem Hong Kong, China pula mempunyai nilai-nilai yang berbeza, iaitu HK$1.70 (kira-kira 73 sen), HK$2.90 (kira-kira RM1.25), HK$3.70 (kira-kira RM1.59) dan HK$5.00 (kira-kira RM2.15). Bagi penghantaran surat biasa tidak melebihi 20 gram dari Hong Kong, China ke Malaysia pula, setem bernilai HK$2.90 diperlukan. Oleh yang demikian, secara umumnya nilai-nilai setem yang dikeluarkan adalah menepati penggunaan bagi tujuan pengeposan surat biasa melalui udara antara kedua-dua buah negara dan wilayah autonomi ini.

Lembaran Cenderamata keluaran Hongkong Post.
Bagi setem keluaran bersama kali ini, saya mengklasifikasikannya sebagai setem seiras (identical) atas sebab-sebab berikut:
  • Walaupun reka bentuk setem-setem ini kelihatan sama, namun perbezaan yang paling ketara adalah pada saiz setem. Setem keluaran Malaysia bersaiz 30mm lebar dan 50mm panjang. Manakala saiz setem keluaran Hong Kong, China agak kecil sedikit iaitu 28 mm lebar dan 45 mm panjang.
  • Warna-warna pada setem-setem keluaran Malaysia lebih terang berbanding setem-setem keluaran Hong Kong, China.
  • Terdapat bingkai pada kedua-dua sisi menegak pada setem-setem keluaran Hong Kong, China.
  • Terdapat perbezaan pada susun atur maklumat setem seperti nama negara, tahun keluaran, nilai setem, tajuk keluaran dan nama makanan. Namun begitu, susunan gambar makanan, gambar bunga dan latar belakang adalah sama. 
    Rajah menunjukkan perbezaan susun atur maklumat setem. Petak biru mewakili setem Malaysia manakala petak jingga mewakili setem Hong Kong, China. Simbol < dan > menunjukkan kedudukan maklumat sama ada berada di sebelah kiri atau kanan setem. 
  • Sedikit perbezaan pada susunan setem, susunan setem-setem Malaysia boleh diubah dengan mudah kerana tiada perbezaan pada nilai setem. Namun begitu, jika merujuk pada susunan setem pada lembaran setem dan pada poster promosi, susunan asal setem Malaysia adalah seperti rajah di bawah: 
    Rajah menunjukkan susunan setem Malaysia. Petak biru mewakili makanan Malaysia dan petak jingga mewakili makanan Hong Kong, China.
  • Susunan setem Hong Kong, China pula adalah mengikut nilai setem masing-masing. Susunan setem Hong Kong, China adalah seperti rajah di bawah:
    Rajah menunjukkan susunan setem Hong Kong, China. Petak jingga mewakili makanan Hong Kong, China dan petak biru mewakili makanan Malaysia.
  • Lembaran cenderamata Malaysia direka bentuk dalam format menegak manakala lembaran cenderamata Hong Kong, China direka bentuk dalam format melintang. Namun yang demikian, setem-setem pada lembaran cenderamata dikeluarkan dalam bentuk sepasang (se-tenant). Oleh yang demikian, boleh dirumuskan bahawa setem keluaran bersama ini dikeluarkan dalam 2 versi, iaitu 4 keping setem berasingan dan 2 keping setem sepasang (se-tenant).
Jadual di bawah menunjukkan butiran-butiran teknikal setem keluaran Pos Malaysia dan Hongkong Post:

Butiran Teknikal Setem

Nama Negara / Wilayah Autonomi
Malaysia
Hong Kong, China
Tajuk Keluaran
Makanan Tempatan: Keluaran Bersama Kuala Lumpur, Malaysia - Hong Kong, China
Hong Kong, China - Malaysia Joint Issue on Local Food
Nilai Setem
RM1.40 x 4 reka bentuk
HK$1.70, HK$2.90, HK$3.70 dan HK$5.00
Saiz Setem
30mm x 50mm
28mm x 45mm
Saiz Lembaran Cenderamata
90mm x 170mm
135mm x 85mm
Tebukan
14
13.5 x 13.25 (satu tebukan berbentuk elips di bahagian tengah sisi menegak setem)
Kertas
Kertas keselamatan bersalut fosfor
Kertas keselamatan dengan fiber
Proses Percetakan
Litografi
Litografi
Pereka Bentuk Setem
Lim Kooi Yong (K.Y. Lim),
Reign Associates Sdn. Bhd.
Tsoi Ka-ching
Pencetak
Cartor Security Printing, France
Cartor Security Printing, France
Kandungan Setem Dalam Setiap Helaian
20 keping setem (10 keping setem x 2 reka bentuk)
25 keping setem

Pos Malaysia juga mencetak risalah yang mengandungi maklumat-maklumat yang ringkas dan padat berkenaan dengan setem-setem yang dikeluarkan. Seperti keluaran-keluaran setem Malaysia yang lain, risalah ini didatangkan bersama dengan sampul surat hari pertama. Maklumat-maklumat ini disampaikan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Manakala Hongkong Post pula mencetak maklumat-maklumat berkenaan setem-setem yang dikeluarkan pada bahagian belakang sampul surat hari pertama. Maklumat-maklumat ini disampaikan dalam Bahasa Mandarin Tradisional dan Bahasa Inggeris.  

Selain Setem, Apa Lagi?

Pos Malaysia mengeluarkan 4 keping setem, lembaran setem, lembaran cenderamata, sampul surat hari pertama dan folder. Manakala Hong Post pula mengeluarkan 4 keping setem, lembaran setem, lembaran cenderamata, sampul surat hari pertama, pek cenderamata dan pek cenderamata khas yang mengandungi setem-setem kedua-dua buah negara dan wilayah autonomi.

Jadual di bawah menunjukkan senarai harga bahan-bahan filateli yang dijual oleh Pos Malaysia dan Hongkong Post:

Senarai Harga Bahan-Bahan Filateli

Nama Negara / Wilayah Autonomi
Malaysia
Hong Kong, China
Setem
RM5.60
HK$13.30 (+/- RM5.72)
Lembaran Setem
RM56.00 - 2 lembaran
HK$332.50 - 4 lembaran (+/- RM142.93)
Lembaran Cenderamata
RM5.60
HK$13.30 (+/- RM5.72)
Sampul Surat Hari Pertama (Kosong)
50 sen
HK$1.20 (+/- 52 sen)
Sampul Surat Hari Pertama (Setem)
RM7.10
HK$17.00 (+/- RM7.30)
Sampul Surat Hari Pertama (Lembaran Cenderamata)
RM7.10 - dilakukan secara persendirian. Tidak dikeluarkan oleh Pos Malaysia kerana saiz sampul surat yang kecil.
HK$17.00 (+/- RM7.30)
Sampul Surat Hari Pertama (Sampul Kenangan)
RM16.10 - hanya ditawarkan kepada pemegang akaun SODA, iaitu Sampul Surat Hari Pertama (Setem) kedua-dua buah negara.
HK$30.00 (+/- RM12.88)
Folder
RM6.00
Tiada
Pek Cenderamata
Tiada
HK$24.00 (+/- RM10.31)
Pek Cenderamata Khas
Tiada
HK$48.00 (+/- RM20.62)

Sampul Surat Hari Pertama (Setem) keluaran Pos Malaysia.
Sampul Surat Hari Pertama (Lembaran Cenderamata). Tidak dikeluarkan secara rasmi oleh Pos Malaysia, hanya dilakukan secara persendirian.
Sampul Surat Hari Pertama (Setem) keluaran Hongkong Post.
Sampul Surat Hari Pertama (Lembaran Cenderamata) keluaran Hongkong Post.
Sampul Kenangan

Amat sayang sekali kerana Pos Malaysia tidak mengeluarkan Sampul Kenangan bagi keluaran bersama ini. Sebaliknya hanya Sampul Surat Hari Pertama (Setem) Malaysia dan Hong Kong, China sahaja yang ditawarkan kepada pemegang akaun SODA. Maka yang demikian, peminat-peminat setem keluaran bersama di Malaysia telah mengambil inisiatif sendiri dengan menampal setem-setem Malaysia pada Sampul Surat Hari Pertama (Setem) Hong Kong, China dan telah membatalkan setem-setem tersebut menggunakan cop hari pertama yang disediakan oleh Pos Malaysia.

Hongkong Post pula telah mengeluarkan Sampul Kenangan dan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat setem kedua-dua negara dan wilayah autonomi ini. Perbezaan ketara pada Sampul Kenangan yang dikeluarkan oleh Hongkong Post dan Sampul Kenangan yang dibatalkan di Malaysia adalah pada cop hari pertama Malaysia. Cop hari pertama Malaysia yang digunakan oleh Hongkong Post tiada perkataan 'Kuala Lumpur'. Sedangkan di Malaysia, setiap cop hari pertama mempunyai nama ibu negeri, daerah atau pejabat pos tempat cop hari pertama itu digunakan.

Sampul Kenangan Malaysia. Tidak dikeluarkan secara rasmi oleh Pos Malaysia, hanya dilakukan secara persendirian.
Sampul Kenangan Hong Kong, China. Keluaran rasmi daripada Hongkong Post tiada perkataan 'Kuala Lumpur' pada cop hari pertama Malaysia. Sekiranya terdapat perkataan 'Kuala Lumpur' atau nama-nama tempat lain, maka setem-setem pada sampul itu telah dibatalkan di Malaysia.
Penutup

Secara umumnya makanan tempatan sememangnya menjadi daya tarikan pelancong-pelancong untuk berkunjung ke sesuatu tempat. Maka dengan pengenalan makanan tempatan popular dalam setem keluaran bersama ini secara tidak langsung merupakan salah satu langkah promosi yang tepat bagi menggalakkan aktiviti pelancongan di Malaysia dan Hong Kong, China. Sememangnya tidak sukar untuk mencari makanan-makanan tempatan ini, hanya yang membezakannya ialah sama ada makanan yang dimakan itu lazat atau sebaliknya. Segalanya bergantung kepada cita rasa dan selera diri sendiri.

Setem-setem keluaran bersama ini juga masih boleh didapati dengan mudah di pejabat-pejabat pos, laman perniagaan elektronik seperti eBay, Delcampe, Lelong, Mudah dan sebagainya. Setakat pada masa penulisan ini dibuat, saya dimaklumkan lembaran cenderamata dan Sampul Kenangan keluaran Hongkong Post dijual pada harga yang agak tinggi ekoran permintaan yang menggalakkan bukan sahaja daripada peminat setem di Malaysia dan Hong Kong, China, malah daripada peminat setem keluaran bersama seluruh dunia.

Penghargaan dan Daftar Pustaka
  1. Pos Malaysia Berhad (http://www.pos.com.my)
  2. Hongkong Post (http://www.hongkongpost.hk)
  3. Forum Persatuan Setem Malaysia (http://www.psmonline.org/forum)
  4. Joint Stamp Issues Society (http://www.jointstampissues.net/)
  5. Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (http://prpm.dbp.gov.my/) 
  6. Sejarah Nasi Lemak (http://en.wikipedia.org/wiki/Nasi_lemak)
  7. Sejarah Satay (http://en.wikipedia.org/wiki/Satay)
  8. Sejarah Wafel Telur (http://en.wikipedia.org/wiki/Egg_waffle)
  9. Sejarah Poon Choi (http://en.wikipedia.org/wiki/Poon_choi)
  10. Sejarah Bunga Raya (http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/profil-malaysia/7959-bunga-kebangsaan.html)
  11. Sejarah Bunga Bauhinia (http://herbarium.gov.hk/SpecialTopicsDetails.aspx?oneId=20&SectionId=3)
  12. Gambar-gambar dalam penulisan ini diambil dan diubah suai daripada sumber-sumber berikut:
    • Nasi Lemak (http://www.posterkini.com/8-kedai-nasi-lemak-di-lembah-klang-anda-mesti-cuba/)
    • Satay (http://www.applefoodees.com/%E2%80%98klasik%E2%80%99-satay-station-at-taman-ehsan-kepong/)
    • Wafel Telur (http://www.tripadvisor.com/LocationPhotoDirectLink-g29105-i18667145-Arcadia_California.html)
    • Poon Choi (http://kaleidoscope.cultural-china.com/en/8Kaleidoscope6372.html)
    • Bunga Raya (http://indahnya-bahasa-kita.blogspot.com/2011/03/syair-bunga-raya.html)
    • Bunga Bauhinia (http://www.freundfloweringtrees.com/bauhinia-blakeana-hong-kong-orchid.html)
    • Gambar-gambar bahan filateli adalah daripada koleksi peribadi saya sendiri.

Selasa, Oktober 14, 2014

Keluaran Bersama Malaysia - Indonesia: Melaka & Jogja - City of Museums (24 Mei 2014)

Pengenalan

Setelah kali terakhir mengeluarkan setem keluaran bersama pada tahun 2011, Pos Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan Pos Indonesia buat kali ketiga, dengan mengeluarkan setem keluaran bersama yang bertajuk Melaka & Jogja - City of Museums pada 24 Mei 2014. Keluaran bersama ini merupakan yang kelapan dalam sejarah setem keluaran bersama di Malaysia.

Keluaran bersama kali ini dikeluarkan dengan tujuan untuk melambangkan persahabatan yang terjalin antara dua kota bersejarah di Malaysia dan Indonesia, iaitu Negeri Melaka dan Daerah Istimewa Yogyakarta (juga dikenali dengan istilah lain seperti DIY, Yogja, Jogya dan Jogjakarta). Kedua-duanya memiliki persamaan dari segi nilai sejarah dan peranannya dalam ekonomi sebagai pusat tarikan pelancong yang terkemuka.

Melaka merupakan Bandaraya Bersejarah yang tidak asing di Malaysia. Melaka mendapat namanya daripada Pohon Melaka, di mana tempat Parameswara bersandar ketika menyaksikan suatu kejadian menakjubkan yang menyaksikan anjing perburuannya telah ditendang oleh seekor pelanduk putih. Berikutan kejadian itu, baginda sangat kagum dengan keberanian pelanduk tersebut lalu memutuskan untuk membuka negeri di situ. Menurut Sulalatus Salatin, Kerajaan Melayu Melaka telah mula diasaskan pada tahun 660 Hijrah, bersamaan dengan tahun 1262 Masehi.

Daerah Istimewa Yogyakarta pula merupakan pusat tarikan pelancong kedua terpenting di Indonesia, selepas Provinsi Bali. Nama Yogyakarta berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu 'Ayogya' yang bermaksud 'kedamaian' atau 'tiada peperangan' dan 'Karta' yang bermaksud 'baik'. Sejarah pembukaan Daerah Istimewa Yogyakarta ini dikatakan bermula sejak kurun ke-10 apabila Kerajaan Medang yang dikenali juga sebagai Kerajaan Mataram Kuno atau Kerajaan Mataram Hindu telah memindahkan pusat pemerintahannya dari Jawa Tengah ke Jawa Timur. 


Persamaan yang diketengahkan dalam keluaran bersama kali ini adalah keunikan kedua-dua kota yang memiliki pelbagai muzium. Ketika artikel ini ditulis, terdapat 24 buah muzium di Melaka dan 32 buah muzium di Jogja, jumlah yang cukup besar untuk membuktikan bahawa kedua-dua kota ini merupakan 'Kota Muzium' sebagaimana tajuk keluaran bersama ini.


YB. Datuk Wira Haji Md. Yunos Bin Husin (kiri) dan Sri Paduka Paku Alam IX (kanan) menunjukkan Sampul Kenangan Melaka dan Sampul Peringatan Jogja yang ditandatangani oleh mereka.
Majlis pelancaran setem cetak tindan dan sampul kenangan ini telah diadakan di Museum Sonobudoyo, Yogyakarta, Indonesia yang dilancarkan bersama oleh Wakil Gubernur Kepala Daerah Istimewa Yogyakarta, Sri Paduka Paku Alam IX dan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Negeri Melaka, YB. Datuk Wira Haji Md. Yunos Bin Husin.

Selain Pos Malaysia Berhad dan PT. Pos Indonesia, Kerajaan Negeri Melaka, Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM), Persatuan Setem Malaysia (PSM), Kementerian Komunikasi dan Informatika Indonesia (Kemenkominfo), Pemerintah Kota Yogyakarta, Badan Musyawarah Musea (Barahmus) dan Perkumpulan Filatelis Indonesia (PFI) turut bekerjasama dalam menjayakan pengeluaran setem keluaran bersama ini. 

Ciri-Ciri & Perbezaan

Keluaran bersama kali ini agak ringkas dengan hanya sekeping setem cetak tindan dan sampul kenangan dikeluarkan oleh kedua-dua negara. Pos Malaysia mencetak tindan setem bernilai 90 sen yang keluaran asalnya dikeluarkan pada 7 Oktober 2012 bertajuk Melaka 750 Tahun. Manakala Pos Indonesia pula mencetak tindan setem bernilai Rp 5,000 (kira-kira RM1.35) yang keluaran asalnya dikeluarkan pada 29 Mac 2010 bertajuk Warisan Budaya Tak Benda.

Keluaran ini dilancarkan dalam sebuah majlis pelancaran di Museum Sonobudoyo, Yogyakarta, Indonesia pada 24 Mei 2014. Oleh kerana majlis pelancaran setem cetak tindan ini diadakan pada hari Sabtu, Pos Malaysia hanya mula menjual setem cetak tindan dan Sampul Kenangan Melaka pada hari Isnin, 26 Mei 2014 di seluruh Malaysia. Di Indonesia pula, dipercayai setem cetak tindan dan Sampul Kenangan Jogja mula dijual sebaik sahaja majlis pelancaran selesai.

Setem Cetak Tindan keluaran Pos Malaysia
Setem Malaysia yang berukuran 70mm lebar dan 25mm panjang menggambarkan Masjid Kampong Hulu, Melaka. Masjid ini merupakan masjid tertua di Melaka dan Malaysia, dipercayai dibina sekitar tahun 1728. Manakala Setem Indonesia yang berukuran 41.06mm lebar dan 25.31mm panjang pula menggambarkan Batik Motif Kembangan, iaitu antara motif batik popular di Indonesia.

Setem Cetak Tindan keluaran Pos Indonesia
Menariknya, paparan Masjid Kampong Hulu, Melaka dalam setem telah tiga kali dikeluarkan oleh Pos Malaysia, dan buat kali keduanya ia dipaparkan dalam tema setem keluaran bersama. Sama seperti yang dikeluarkan dalam Keluaran Bersama Malaysia - China pada tahun 2004. Dan seperti juga keluaran bersama tersebut, keluaran bersama kali ini diklasifikasikan sebagai setem setara (equivalent) atas sebab-sebab berikut:
  • Perbezaan yang ketara bagi kedua-dua setem. Namun begitu, persamaannya terdapat pada tema gambaran setem-setem tersebut, iaitu warisan budaya dan sejarah.
  • Persamaan ketara pada kedua-dua setem hanyalah pada logo cetak tindan. Namun begitu, logo cetak tindan setem Malaysia adalah berwarna-warni berbanding logo cetak tindan setem Indonesia yang dicetak dengan warna keemasan. 
  • Logo cetak tindan setem Malaysia memaparkan tulisan tahun '2014' manakala tulisan tersebut tiada pada logo cetak tindan setem Indonesia.
  • Berbanding keluaran Melaka 750 Tahun, tulisan tahun '2012' tiada pada keluaran kali ini. Tona warna setem keluaran kali ini juga lebih gelap berbanding keluaran asal. Manakala pada setem Indonesia, tulisan bilangan setem '5/6' dan tahun '2010' masih tertera pada setem tersebut. Berbeza sedikit dengan setem Malaysia, tona warna setem keluaran kali ini agak pudar berbanding keluaran asal.
  • Kedua-dua negara juga menggunakan reka bentuk cop hari pertama yang sama.
Menurut sumber dari Pos Malaysia, mereka mengeluarkan sebanyak 100,000 keping setem dan 35,000 keping sampul kenangan. Manakala Pos Indonesia hanya mengeluarkan sebanyak 20,000 keping setem. Menurut sumber filateli Indonesia, hanya sebanyak 7,000 keping sahaja setem Indonesia yang dijual sebagai setem yang tidak digunakan manakala baki selebihnya sebanyak 13,000 keping dilekatkan dan dijual bersama sampul peringatan.

Jadual di bawah menerangkan butiran teknikal berkenaan reka bentuk setem-setem tersebut:


Butiran Teknikal Setem

Nama Negara
Malaysia
Indonesia
Tajuk Keluaran
Melaka & Jogja - City of Museums
Melaka & Jogja - City of Museums
Nilai Setem
90 sen
Rp. 5,000
Saiz Setem
70mm x 25mm
41.06mm x 25.31mm
Tebukan
14
12.75 x 13.50
Kertas
Tera Air SPM, Bersalut Fosfor
Tullis Russel, Pelekat PVA
Proses Percetakan
Litografi
Offset
Pereka Bentuk Setem
Peter Chuah,
Orient Communications
Pelukis: Teguh Wiyatmo
Pereka bentuk: Dadan R.
Pencetak
Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd., Malaysia
Perum PERURI, Indonesia
Kuantiti Keluaran
100,000
20,000
Kandungan  Setem Dalam Setiap Helaian
15 keping setem
50 keping setem
Keterangan Ringkas Reka Bentuk Setem
Masjid Kampong Hulu, Melaka

Masjid Kampong Hulu yang terletak di tengah-tengah Bandar Melaka merupakan masjid tertua di Malaysia. Ia dipercayai dibina antara tahun 1720 hingga 1728 atas arahan pemerintah Belanda oleh Dato' Samsudin Bin Arom, seorang mualaf dari China yang juga merupakan wakil masyarakat Melayu semasa penjajahan Belanda di Melaka. Belanda juga memperkenalkan kebebasan beragama pada ketika itu. Dikatakan semasa pemerintahan Portugis, mereka memusnahkan semua rumah ibadat bukan Kristian sehinggakan masjid tertua di tengah-tengah Kota Melaka juga turut musnah. Pendirian Belanda yang berbeza dipercayai kerana mereka beragama Protestan berbanding Portugis yang beragama Roman Katolik. Seni bina masjid ini adalah gabungan seni bina tempatan, Jawa, Sumatera dan China. Masjid ini telah diwartakan sebagai bangunan bersejarah di bawah Enakmen Pemuliharaan dan Pemugaran Warisan Budaya Negeri Melaka 1988.
Batik Motif Kembangan Warna Alam

Batik mula dikenali di Indonesia sejak dari kurun ke-14 pada zaman Kerajaan Majapahit. Seni penghasilan batik ini mula berkembang pada kurun ke-18 iaitu zaman Kerajaan Mataram dan ia diteruskan oleh Kerajaan Surakarta dan Yogyakarta. Pada mulanya pembuatan batik hanya dilakukan di dalam kawasan istana dan hanya dipakai oleh kerabat raja dan pengikut-pengikut mereka. Memandangkan terdapat juga pengikut-pengikut raja yang menetap di luar kawasan istana, maka secara tidak langsung seni pembuatan batik ini terbawa keluar dari istana dan turut dipakai oleh rakyat jelata. Batik tradisi dilukis di atas sebidang kain tenunan berwarna putih yang dinamakan Kain Mori. Warna-warna yang digunakan juga terhasil daripada campuran tumbuh-tumbuhan yang tumbuh melata di sekitar Indonesia. Pada 2 Oktober 2009, UNESCO telah mengiktiraf proses pembuatan batik sebagai warisan budaya lisan dan tersembunyi negara Indonesia.

Selain Setem, Apa Lagi?


Pos Malaysia mengeluarkan sekeping setem cetak tindih dan Sampul Kenangan. Manakala Pos Indonesia pula mengeluarkan sekeping setem cetak tindih dan Sampul Peringatan. Berdasarkan pemerhatian saya, kedua-dua sampul ini dicetak oleh pencetak yang sama berdasarkan reka bentuk dan kualiti kertas.


Sampul Kenangan Melaka berlatar belakangkan Peta Nusantara, dengan Jata Negeri Melaka diletakkan di atas lakaran peta Negeri Melaka dan dihiasi lima gambar muzium-muzium yang terletak di Negeri Melaka. Gambar muzium-muzium yang dimaksudkan adalah Muzium Tuan Yang Terutama (Muzium TYT), Pusat Hang Tuah (Hang Tuah Centre), Muzium Setem, Bangunan Stadthuys dan Muzium Samudera.


Sampul Peringatan Jogja juga berlatar belakangkan sambungan Peta Nusantara, dengan Lambang Daerah Istimewa Yogyakarta diletakkan di atas lakaran peta Yogyakarta dan dihiasi lima gambar muzium-muzium yang terletak di Yogyakarta. Gambar muzium-muzium yang dimaksudkan adalah Bebadan Museum Karaton Yogyakarta, Museum Ullen Sentalu, Museum Sonobudoyo, Benteng Vredeburg dan Museum Pendidikan Indonesia.


Pada bahagian belakang kedua-dua sampul terdapat penerangan ringkas 10 gambar muzium-muzium yang dipaparkan dalam Bahasa Melayu pada Sampul Kenangan Melaka dan Bahasa Indonesia pada Sampul Peringatan Jogja.


Jadual di bawah menerangkan secara ringkas berkenaan muzium-muzium yang diketengahkan dalam keluaran bersama ini:


Maklumat Ringkas Muzium

Nama Muzium

Lokasi dan Tahun Dibina / Dirasmikan

Fungsi

Muzium Tuan Yang Terutama (Muzium TYT)



  • Bukit St. Paul, Melaka, Malaysia.
  • Dibina pada kurun ke-17 sebagai Pejabat Gabenor Belanda.
  • Dibuka sebagai muzium pada tahun 2002.
Dahulunya dikenali sebagai Seri Melaka, bangunan ini merupakan kediaman rasmi TYT sehingga tahun 1996. Muzium ini memaparkan sejarah dan sumbangan TYT terhadap pembangunan Negeri Melaka.
Pusat Hang Tuah (Hang Tuah Centre)



  • Duyong, Melaka, Malaysia. (Dipercayai tempat kelahiran Hang Tuah)
  • Dibuka pada tahun 2013.
Dikenali juga sebagai Perkampungan Hang Tuah, pusat ini merupakan tarikan terbaharu di Melaka. Pusat yang berseni bina Melayu Melaka ini memaparkan sejarah berkaitan Laksamana Hang Tuah lima bersaudara. 
Muzium Setem



  • Jalan Kota, Melaka, Malaysia.
  • Dibuka pada tahun 2007.
Merupakan bangunan lama Muzium Melaka. Kini berfungsi mempamerkan sejarah perkembangan setem di Malaysia, artifak berkaitan pos dan filateli.
Bangunan Stadthuys



  • Jalan Laksamana, Melaka, Malaysia.
  • Dibina pada tahun 1650.
  • Dibuka sebagai muzium pada tahun 1982.
Menempatkan Muzium Sejarah dan Ethnografi yang memaparkan sejarah awal Melaka, zaman pemerintahan penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun sehinggalah ke Melaka Moden masa kini.
Muzium Samudera



  • Jalan Quayside, Melaka, Malaysia
  • Dibina pada tahun 1990.
  • Dirasmikan pada tahun 1994.
Dibina berdasarkan reka bentuk kapal milik Portugis, Flor de la Mar. Merupakan tarikan utama pelancong ke Melaka. Mempamerkan sejarah kedaulatan Melaka dan perkembangan perdagangan di Melaka pada zaman kesultanan sehingga ke zaman penjajahan.
Bebadan Museum Karaton Yogyakarta



  • Kompleks Keraton Yogyakarta, Yogyakarta, Indonesia.
  • Dibina pada tahun 1755.
Muzium ini berada dalam lingkungan Keraton (istana) yang menyimpan dan mempamerkan koleksi artifak, barang-barang milik Kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat dan kesenian muzik tradisi gamelan.
Museum Ullen Sentalu



  • Jalan Boyong, Kaliurang Barat, Sleman, Yogyakarta, Indonesia.
  • Dibina pada tahun 1997.
Merupakan muzium seni dan kebudayaan masyarakat Jawa. Muzium ini memaparkan nilai dan martabat budaya Jawa dari zaman Mataram sehingga masa kini.
Museum Sonobudoyo



  • Jalan Trikora 6 (Alun-alun Utara), Yogyakarta, Indonesia.
  • Dibina pada tahun 1934.
  • Dirasmikan pada tahun 1935.
Muzium ini memaparkan sejarah dan kebudayaan Jawa, termasuk seni bina klasik Jawa. Muzium ini dikatakan memiliki koleksi paling lengkap berkaitan sejarah Jawa selepas Museum Nasional Republik Indonesia di Jakarta, Indonesia.
Benteng Vredeburg



  • Jalan Jenderal Ahmad Yani 6, Yogyakarta, Indonesia.
  • Dibina pada tahun 1760.
  • Dibuka sebagai Muzium Benteng Yogyakarta pada tahun 1992.
Merupakan bekas kubu pertahanan Belanda pada zaman penjajahannya di Indonesia sebelum menjadi Muzium Khusus Perjuangan Nasional. Muzium ini memaparkan sejarah Indonesia dalam bentuk diorama. 
Museum Pendidikan Indonesia



  • Jalan Colombo 1, Karangmalang, Yogyakarta, Indonesia.
  • Dirasmikan pada tahun 2008.
Muzium ini terletak dalam lingkungan kampus Universitas Negeri Yogyakarta (UNY). Ia didedikasikan oleh UNY untuk memaparkan sejarah perkembangan pendidikan di Indonesia.

Reka bentuk sampul kenangan ini sangat menarik kerana apabila ia disusun secara menegak dengan Sampul Kenangan Melaka di atas dan Sampul Peringatan Jogja di bawah, maka akan lengkaplah cantuman Peta Nusantara dengan kedudukan Negeri Melaka dan Daerah Istimewa Yogyakarta pada peta tersebut boleh digambarkan dengan lebih jelas. Apabila sampul-sampul ini diterbalikkan, kelihatan juga cantuman Peta Nusantara di bahagian tengah.


Bahagian Hadapan Sampul Kenangan Melaka dan Sampul Peringatan Jogja
Bahagian Belakang Sampul Kenangan Melaka dan Sampul Peringatan Jogja
Jadual di bawah menunjukkan senarai harga bahan-bahan filateli yang dijual oleh Pos Malaysia dan Pos Indonesia:

Senarai Harga Bahan-Bahan Filateli

Nama Negara
Malaysia
Indonesia
Setem
90 sen
Rp 5,000 (+/- RM1.38)
Lembaran Setem
RM13.50
Rp 250,000 (+/- RM69.22)
Sampul Kenangan / Peringatan (Kosong)
50 sen
Tiada
Sampul Kenangan / Peringatan (Setem)
RM1.40
Tiada
Set Sampul Kenangan Melaka dan Sampul Peringatan Jogja
RM5.00 - hanya ditawarkan kepada pemegang akaun SODA.
Rp 25,000 (+/- RM6.92) - hanya dijual selepas majlis pelancaran di Museum Sonobudoyo, Yogyakarta, Indonesia.
Sampul Kenangan / Terpadu (Setem Cetak Tindan Malaysia dan Indonesia pada satu sampul)
Tiada - dilakukan secara persendirian. Tidak dikeluarkan oleh Pos Malaysia.
Tiada - dilakukan secara persendirian. Tidak dikeluarkan oleh Pos Indonesia.


Sampul Kenangan Melaka keluaran Pos Malaysia
Sampul Peringatan Jogja keluaran Pos Indonesia
Sampul Kenangan

Sampul Kenangan yang saya maksudkan di sini adalah sampul yang dilekatkan setem keluaran bersama kedua-dua buah negara padanya, atau juga dikenali sebagai Sampul Terpadu di Indonesia. Sampul Kenangan ini tidak dikeluarkan secara rasmi oleh Pos Malaysia dan Pos Indonesia. Di Malaysia, Pos Malaysia menawarkan kedua-dua Sampul Kenangan Melaka dan Sampul Peringatan Jogja kepada pemegang akaun SODA dan dijual pada harga RM5.00 untuk satu set.

Manakala di Indonesia, Pos Indonesia hanya menjual Sampul Peringatan Jogja sebaik sahaja selesai majlis pelancarannya di Museum Sonobudoyo, Yogyakarta, Indonesia. Mereka tidak menjual Sampul Peringatan Jogja secara berasingan tetapi ia dijual bersama dengan Sampul Kenangan Melaka pada harga Rp 25,000 (kira-kira RM6.92) satu set. Oleh kerana kuantiti keluaran yang kecil dan kurangnya hebahan umum mengenainya, dipercayai yang setem cetak tindan Indonesia dan set Sampul Peringatan Jogja dan Sampul Kenangan Melaka hanya dijual di Yogyakarta sahaja. 

Oleh yang demikian, kewujudan Sampul Kenangan seperti yang dipaparkan di bawah merupakan inisiatif sendiri oleh peminat setem keluaran bersama dengan menampal setem cetak tindan Malaysia pada Sampul Peringatan Jogja. Cop hari pertama 'Jalan Laksamana' dan 'Melaka' dikatakan lebih bernilai berbanding yang lain kerana tema keluaran ini yang lebih tertumpu kepada negeri bersejarah itu. Namun begitu, tidak banyak dilaporkan berkenaan Sampul Kenangan Melaka yang ditampal sekali dengan setem cetak tindan Indonesia. Ini kerana kesukaran mencari setem cetak tindan Indonesia di samping harganya yang mahal.

Sampul Kenangan Melaka yang ditampal setem Malaysia dan Indonesia. Dilakukan secara persendirian.
Sampul Peringatan Jogja yang ditampal setem Indonesia dan Malaysia. Dilakukan secara persendirian.
Penutup

Adalah menjadi harapan bagi semua pihak yang terlibat dalam menjayakan setem keluaran bersama ini untuk melihat kedua-dua negeri dan daerah istimewa ini terus maju membangun bersama industri pelancongan yang merupakan nadi utama ekonomi di tempat masing-masing. Sememangnya peranan muzium dalam membentuk jati diri dan memupuk minat generasi muda untuk menghayati dan menghargai sejarah tidak dapat dinafikan. Oleh yang demikian, diharapkan agar setem keluaran bersama yang dikeluarkan kali ini dapat memberi kesedaran kepada umum tentang kewujudan muzium-muzium yang menarik di negara masing-masing.

Setem cetak tindih dan Sampul Kenangan Melaka keluaran Pos Malaysia masih boleh didapati dengan mudah di pejabat-pejabat pos, laman perniagaan elektronik seperti eBay, Delcampe, Lelong, Mudah dan sebagainya. Namun begitu, Sampul Peringatan Jogja agak sukar ditemui memandangkan kuantiti keluaran yang kecil. Setem cetak tindih keluaran Pos Indonesia yang masih tidak digunakan pula sangat sukar ditemui dan ia dijual pada harga yang agak tinggi di laman perniagaan elektronik. Kuantiti yang kecil ini juga merupakan faktor utama yang menyebabkan harga setem tersebut melambung. Di samping itu, dipercayai sesetengah pengumpul setem Indonesia sendiri tidak menyedari kewujudan setem ini dan hanya menyedarinya setelah ia dilancarkan di Yogyakarta. Maka pembelian panik juga turut menyumbang kepada kenaikan mendadak harga setem tersebut.

Penghargaan dan Daftar Pustaka

  1. Pos Malaysia Berhad (http://www.pos.com.my)
  2. Forum Persatuan Setem Malaysia (http://www.psmonline.org/forum)
  3. Joint Stamp Issues Society (http://www.jointstampissues.net/)
  4. Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (http://prpm.dbp.gov.my/)
  5. Kerajaan Negeri Melaka (http://www.melaka.gov.my/my)
  6. Pemerintah Daerah Istimewa Yogyakarta (http://www.jogjaprov.go.id/)
  7. Perbadanan Muzium Melaka (http://www.perzim.gov.my/index.php/my/)
  8. Sejarah Nama Negeri Melaka (http://www.melaka.gov.my/my/tentang-kami/sejarah)
  9. Sejarah Nama Daerah Istimewa Yogyakarta (http://en.wikipedia.org/wiki/Yogyakarta)
  10. Gita Stamps Inc., Bandung, Jawa Barat, Indonesia (http://www.gitastamps.com/)
  11. Encik Nashrul "Uul" Jihadan, Ketua Harian, Pengurus Daerah Perkumpulan Filatelis Indonesia Daerah Istimewa Yogyakarta (http://uuljihadan.blogspot.com/2014/10/doa-dibalik-prangko-melaka-jogja-city.html)
  12. Sejarah ringkas muzium-muzium yang dipaparkan pada Sampul Kenangan Melaka dan Sampul Peringatan Jogja diperoleh dan diolah daripada sumber-sumber berikut:
    • Muzium Tuan Yang Terutama (http://ms.wikipedia.org/wiki/Muzium_Tuan_Yang_Terutama)  
    • Pusat Hang Tuah (http://www.sinarharian.com.my/pusat-hang-tuah-lima-sabahat-buka-raya-kedua-1.190267)
    • Muzium Setem (http://www.myrokan.com/2013/12/muzium-muzium-di-negeri-melaka.html)
    • Bangunan Stadthuys (http://ms.wikipedia.org/wiki/Bangunan_Stadthuys)
    • Muzium Samudera (http://ms.wikipedia.org/wiki/Muzium_Samudera)
    • Bebadan Museum Karaton Yogyakarta (http://goblokku.wordpress.com/2011/09/21/sebaran-museum-di-yogyakarta-anggota-barahmus-badan-musyawarah-musea/)
    • Museum Ullen Sentalu (http://jogjatrip.com/id/263/Museum-Ullen-Sentalu)
    • Museum Sonobudoyo (http://id.wikipedia.org/wiki/Museum_Sonobudoyo)
    • Benteng Vredeburg (http://bentengvredeburg.blogspot.com/)
    • Museum Pendidikan Indonesia (http://jogjatrip.com/id/1112/Museum-Pendidikan-Indonesia-MPI)
  13. Gambar-gambar dalam penulisan ini diambil dan diubah suai daripada sumber-sumber berikut:
    • Jata Negeri Melaka (http://en.wikipedia.org/wiki/Malacca)
    • Lambang Daerah Istimewa Yogyakarta (http://en.wikipedia.org/wiki/Special_Region_of_Yogyakarta)
    • Gambar Majlis Pelancaran Setem (http://ongzi-stamps.blogspot.com/2014/05/melaka-jogja-city-of-museums.html)
    • Gambar Logo Cetak Tindan (http://www.pos.com.my/pos/Files/upload/philately/Poster.asp?dateissue=24-May-2014) 
    • Gambar Masjid Kampong Hulu, Melaka (http://jakmashomestay.blogspot.com/2012/10/pakej-lawatan-homestay-kesidang-3-hari.html)
    • Gambar Batik Motif Kembangan (http://www.ernibatik.com/2012/12/blog-post_3.html)
    • Gambar Muzium Tuan Yang Terutama (http://www.melaka.gov.my/my/pelancongan/muzium-galeri/muzium)
    • Gambar Pusat Hang Tuah (http://roslithnin.blogspot.com/2013/10/pusat-hang-tuah-hang-tuah-centre-duyung.html) 
    • Gambar Muzium Setem (http://www.melaka.gov.my/my/pelancongan/muzium-galeri/muzium)
    • Gambar Bangunan Stadthuys (http://gogomelaka.com/see&do/STADTHUYS.html)
    • Gambar Muzium Samudera (http://www.jomjalan.com.my/listings/muzium-samudera/)
    • Gambar Bebadan Museum Karaton Yogyakarta (http://kebudayaanindonesia.net/kebudayaan/970/keraton-yogyakarta)
    • Gambar Museum Ullen Sentalu (http://www.citilinkstory.com/museum-ullen-sentalu-yogyakarta/)
    • Gambar Museum Sonobudoyo (http://ltmz.blogspot.com/2013/11/jelajah-museum-sonobudoyo.html)
    • Gambar Benteng Vredeburg (http://yogyakarta.panduanwisata.id/hiburan/benteng-vredeburg-manifestasi-perdamaian-yang-terjaga-hingga-saat-ini/)
    • Gambar Museum Pendidikan Indonesia (http://ryanotivity.blogspot.com/2014/04/pemilihan-dimas-diajeng-sleman.html)
    • Gambar-gambar bahan filateli adalah daripada koleksi peribadi saya sendiri.