Sabtu, April 17, 2010

Keluaran Bersama Malaysia - China: Peringatan Ulang Tahun Ke-30 Hubungan Diplomatik dan Tahun Persahabatan Malaysia - China (31 Mei 2004)

Pengenalan

Malaysia hanya mengeluarkan setem keluaran bersama ketiganya pada tahun 2004. Namun begitu, keluaran ketiga ini agak unik. Ini kerana keluaran ini dianggap sebagai Concerted Joint Issue oleh IPS-JSIC. Menurut klasifikasi yang dikeluarkan oleh IPS-JSIC, keluaran bersama Malaysia - China ini diklasifikasikan sebagai 'cetakan semula yang disesuaikan', membawa maksud, sebuah negara (dalam hal ini, China) menggunakan reka bentuk setem yang telah dikeluarkan sebelumnya dan menyesuaikannya untuk keluaran bersama dengan negara lain (Malaysia), dan negara itu turut menggunakan reka bentuk yang sama. Keluaran bersama ini disahkan dengan terdapatnya pengeluaran sampul kenangan.

Menurut IPS-JSIC, keluaran bersama Malaysia - China ini unik kerana ia membuka skop baharu dalam kajian berkenaan setem keluaran bersama. Apabila saya meneliti jurnal (Ogos 2004) yang dikeluarkan, IPS-JSIC menyatakan bahawa 'tiada pengesahan dibuat oleh China Post berkenaan keluaran bersama ini'. Namun begitu, misteri terjawab apabila keluaran bersama ini sebenarnya merupakan keluaran Pos Malaysia Berhad dan China National Philatelic Corporation (CNPC). CNPC merupakan agensi utama yang dibenarkan oleh China Post untuk menjual setem, bahan-bahan filateli dan perkhidmatan filateli lain kepada umum. Ia juga merupakan agensi milik kerajaan China sepenuhnya. IPS-JSIC, pada jurnal keluaran Ogos 2004 juga akhirnya memperakui bahawa setem yang dikeluarkan adalah keluaran bersama dengan menggunakan klasifikasi yang berbeza.

Keluaran bersama Malaysia - China ini dikeluarkan bagi memperingati 30 tahun hubungan diplomatik Malaysia - China. Motif kapal layar dan bendera terdapat pada semua setem yang dikeluarkan. Lanchara merupakan kapal layar tradisional Melayu yang bukan saja berfungsi sebagai kapal dagang, malah boleh menjadi kapal perang. Manakala bagi mewakili China, motif kapal layar yang biasa disebut 'Tongkang Cina' digunakan. Terdapat tambahan lembaran mini yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia Berhad dengan lukisan Masjid Niujie, Beijing, China dan Masjid Kampung Hulu, Melaka, Malaysia menghiasi lembaran mini berkenaan.

Ciri-Ciri & Perbezaan

Setem ini dikeluarkan pada 31 Mei 2004. Malaysia mengeluarkan 4 keping setem, 2 keping bernilai 30 sen (60 sen sepasang) dan 2 keping bernilai RM1.00 (RM2.00 sepasang). Lembaran mini juga dikeluarkan dengan nilai RM2.00. Bagi pihak China, mereka hanya mengeluarkan sekeping setem yang bernilai 80 fen (kira-kira 40 sen). Seperti yang dinyatakan sebelum ini, setem yang menunjukkan lukisan 'Tongkang Cina' merupakan setem yang pernah dikeluarkan oleh China Post pada 5 Ogos 2003. Ia dikeluarkan dengan menggunakan tajuk 'Plain Sailing', atau pelayaran biasa. Setem 'Plain Sailing' ini merupakan setem individu (personalised stamp) yang boleh diubahsuai mengikut citarasa pengguna. Pada bahagian label tertera perkataan dalam tulisan cina yang bermaksud 'restu'.

Berbeza dengan 2 keluaran sebelum ini, setem keluaran bersama Malaysia - China ini diklasifikasikan sebagai setara (equivalent) atas sebab-sebab berikut:
  • Perbezaan antara setem keluaran Malaysia dan China begitu ketara. Terutamanya dari segi format keluaran. Malaysia mengeluarkan setem 'Tongkang Cina' ini secara menegak. Manakala China mengeluarkannya secara melintang.
  • Pereka bentuk setem yang berlainan.
  • Oleh kerana setem Malaysia dikeluarkan secara menegak, lukisan asal setem ini kelihatan seperti 'dipotong' sedikit bagi menyesuaikannya dengan format menegak. Keadaan ini boleh dilihat pada bahagian kiri dan kanan setem, lukisan awan dan layar kapal kelihatan seperti 'dipotong'. Terdapat tambahan bentuk bulat matahari pada bahagian atas.
Terdapat sedikit perbezaan tajuk pada setem dan lembaran mini Malaysia. Tajuk asal keluaran bersama ini ialah Peringatan Ulang Tahun Ke-30 Penubuhan Hubungan Diplomatik dan Tahun Persahabatan Malaysia - China. Tajuk tersebut digunakan pada lembaran mini, namun begitu, mungkin disebabkan kekurangan ruang, tajuk keluaran tersebut dipendekkan sebagai 30 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia - China pada setiap setem yang dikeluarkan.

Setem Malaysia direka bentuk oleh Hazel Design, dan dicetak menggunakan teknik lithography oleh Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd., menggunakan kertas tera air SPM. Kesemua setem bersaiz 30mm lebar dan 40mm panjang. Manakala lembaran mini pula bersaiz 100mm lebar dan 70mm panjang. Dengan saiz setem pada lembaran mini berukuran 60mm lebar dan 40mm panjang. Saiz tebukan antara lubang bagi semua setem ialah 14.

Manakala setem China pula direka bentuk oleh Feng Xiaohong. Ia dicetak menggunakan teknik offset oleh Beijing Postage Stamp Printing House, menggunakan kertas tidak tera air yang mempunyai nombor siri lutsinar bagi membezakannya dengan setem tiruan. Nombor siri yang dicetak adalah mengikut nombor siri pada setiap lembaran setem yang dikeluarkan. Setiap setem bersaiz 30mm lebar dan 30mm panjang. Dengan tambahan label berukuran 20mm lebar dan 30mm panjang. Menjadikan saiz setem termasuk label ialah 50mm lebar dan 30mm panjang. Saiz tebukan antara lubang ialah 12. Bagi keluaran khas ini, pihak China telah menggunakan label khas yang memaparkan bendera China dan Malaysia. Di samping itu juga, sepucuk sampul kenangan telah dikeluarkan untuk memperingati sambutan ulang tahun ini. Sampul surat dan cop keluaran hari pertama direka bentuk oleh Ma Xiaoling.

Selain Setem, Apa Lagi?

Selain setem dan lembaran mini, Pos Malaysia juga mengeluarkan bahan-bahan filateli lain seperti sampul surat hari pertama, pek cenderamata dan folder. Malaysia tidak mengeluarkan sampul kenangan istimewa tetapi menggunakan sampul surat hari pertama bagi tujuan berkenaan. Manakala CNPC pula hanya mengeluarkan setem dan sepucuk sampul kenangan. Sedikit keunikan pada sampul-sampul ini apabila reka bentuknya seakan sama.


Namun begitu, bagi menambahkan misteri keluaran bersama ini, setem China hanya dikeluarkan pada sampul kenangan. Walaupun ianya sah digunakan sebagai setem pos, tetapi tiada yang dijual secara berasingan. Terdapat juga sedikit perbezaan pada cap tarikh keluaran hari pertama. Cap tarikh Malaysia hanya menunjukkan tarikh dan nama tempat biro filateli. Manakala cap tarikh China menunjukkan tarikh dan tajuk keluaran bersama ini sahaja.

Sampul Kenangan Keluaran Pos Malaysia
Sampul Kenangan Keluaran China National Philatelic Corporation

Ada dijual di mana?

Setem dan lembaran mini Malaysia masih banyak boleh didapati di eBay dan Delcampe. Dengan sedikit kesabaran, sampul kenangan Malaysia masih boleh didapati di eBay. Begitu juga dengan sampul kenangan China. Namun begitu, sekiranya ada sesiapa yang memiliki setem China yang masih tidak digunakan, pasti ia merupakan setem yang 'lolos' daripada kawalan CNPC atau mungkin juga setem tiruan. Dan harganya pasti melambung sekiranya setem tersebut adalah asli.

Ahad, April 11, 2010

Keluaran Bersama Malaysia - Singapore: Burung Tropika (27 Jun 2002)

Pengenalan

Kira-kira empat bulan selepas keluaran bersama pertama, Pos Malaysia Berhad sekali lagi mengeluarkan setem keluaran bersama. Kali ini dengan negara jiran terdekat, Singapore. Walaupun baru keluaran kali kedua, setem keluaran bersama ini mencatat sejarah apabila dinobatkan sebagai 'Keluaran Bersama Terbaik 2002' oleh International Philatelic Society of Joint Stamp Issues Collectors (IPS-JSIC) pada 2 Mei 2003, mengatasi 34 pencalonan lain . Pertandingan yang pertama kali diadakan ini adalah hasil idea Pascal LeBlonde, Naib Presiden IPS-JSIC Amerika Utara. Berikut adalah keputusan pertandingan tersebut:
  1. Burung Tropika (Malaysia & Singapore) - 17.6%
  2. Kejohanan Bola Sepak Sedunia (Argentina, Brazil, France, Germany, Italy & Uruguay) - 15.5%
  3. Terumbu Karang (Canada & Hong Kong) - 11.5%
Satu sijil penghargaan telah dikeluarkan oleh IPS-JSIC kepada Pos Malaysia Berhad dan Singapore Post. Tahniah diucapkan kepada kedua-dua buah negara. Pada keluaran bersama ini, lukisan burung Belatok Gajah, Dendang Selayang, Kelicap Pinang dan Dendang Gajah merupakan spesis Burung Tropika yang menghiasi setem kedua-dua buah negara. Dengan tambahan lukisan Burung Sepah Puteri Bukit menghiasi lembaran mini Malaysia.


Ciri-Ciri & Perbezaan

Setem ini dikeluarkan pada 27 Jun 2002 (begitu hampir dengan tarikh lahir penulis). Malaysia mengeluarkan 4 keping setem, 2 keping setem bernilai 30 sen (60 sen sepasang) dan 2 keping setem bernilai RM1.00 (RM2.00 sepasang). Lembaran mini juga dikeluarkan sempena keluaran bersama ini bernilai RM5.00. Singapore juga mengeluarkan 4 keping setem bernilai 22 cents (dinyatakan sebagai 'For local addresses only', kira-kira 60 sen), 40 cents (kira-kira 90 sen), $1 (kira-kira RM2.29) dan $2 (kira-kira RM4.58). Lembaran mini yang mengandungi keempat-empat setem ini dalam bentuk blok juga dikeluarkan pada harga $3.66 (kira-kira RM8.38).

Sekali lagi buat setem keluaran bersama Malaysia, saya mengklasifikasikan setem ini sebagai seiras (identical) atas sebab-sebab berikut:
  • Perbezaan format keluaran, Malaysia mengeluarkan 4 keping setem ini dalam bentuk 2 pasang setenant. Iaitu 30 sen setenant dan RM1.00 setenant. Manakala Singapore mengeluarkan setem ini dalam bentuk 4 keping yang berasingan. Sesuai dengan perbezaan nilai bagi setiap setem.
  • Susunan setem, adalah sesuatu yang agak lucu apabila setem bernilai rendah bagi Malaysia. Merupakan setem bernilai tinggi bagi Singapore. Jelas ditunjukkan apabila setem dengan lukisan Belatuk Gajah dan Dendang Selayang hanya bernilai 30 sen untuk setem Malaysia. Tetapi bernilai $2 dan $1 untuk setem Singapore. 
  • Namun begitu, setem bernilai tinggi bagi Malaysia. Merupakan setem bernilai rendah bagi Singapore pula. Setem dengan lukisan Kelicap Pinang dan Dendang Gajah bernilai RM1.00 bagi setem Malaysia. Bagi setem Singapore, reka bentuk yang sama hanya bernilai 26 cents dan 40 cents setiap satu.
  • Lukisan pada setem Malaysia tidak berbingkai jika dibandingkan dengan setem Singapore yang mempunyai bingkai berwarna kuning cair.
  • Warna merah buah pada latar belakang lukisan burung Dendang Selayang Singapore lebih gelap berbanding Malaysia.
  • Lukisan pada setem Singapore secara keseluruhannya lebih teliti berbanding setem Malaysia. Ini dilihat pada garisan-garisan yang lebih jelas pada setem Singapore berbanding garisan-garisan yang agak kabur pada setem Malaysia.
Lukisan setem bagi kedua-dua negara ini dilukis oleh Teh Yew Kiang. Iaitu seorang pelukis Malaysia yang terkenal dengan lukisan-lukisan burung yang menarik. Banyak lukisan-lukisan burung pada setem Malaysia adalah hasil kreatif pelukis berketurunan Cina yang berasal dari Sungai Siput, Perak ini. Setem Malaysia dicetak dengan teknik lithography oleh Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd., menggunakan kertas tera air SPM. Kesemua setem bersaiz 30mm lebar dan 40mm panjang. Saiz lembaran mini pula ialah 100mm lebar dan 70mm panjang. Dengan saiz setem pada lembaran mini berukuran 40mm lebar dan 60mm panjang. Saiz tebukan antara lubang bagi kesemua setem Malaysia ialah 14.

Setem keluaran Singapore pula mendapat sentuhan grafik tambahan daripada Stanley Lau. Setem Singapore dicetak dengan teknik offset lithography oleh Joh Enschede Security Printers, menggunakan kertas tidak tera air. Semua setem bersaiz 30mm lebar dan 40mm panjang. Saiz lembaran mini berukuran 135mm lebar dan 94mm panjang. Saiz tebukan antara lubang pula ialah 14 pada bahagian tepi dan 13.25 pada bahagian atas dan bawah.

Selain Setem, Apa Lagi?

Pos Malaysia Berhad mengeluarkan setem, lembaran mini, sampul surat hari pertama, pek cenderamata dan folder. Manakala Singapore Post mengeluarkan setem, lembaran mini, sampul surat hari pertama dan pek cenderamata. Kedua-dua negara juga mengeluarkan sampul kenangan bagi memperingati setem keluaran bersama ini. Sampul kenangan Singapore agak istimewa dengan adanya cetakan tandatangan Stanley Lau dan Teh Yew Kiang pada sudut bawah kiri dan kanan sampul.

Sampul Kenangan Keluaran Pos Malaysia

Sampul Kenangan Keluaran Singapore Post

Ada dijual di mana?

Setakat pemerhatian saya, setem dan lembaran mini Malaysia dan Singapore masih boleh didapati di eBay dan Delcampe. Berbanding keluaran bersama sebelum ini, lembaran setem untuk keluaran ini biasanya dijual dengan harga yang tinggi kerana sambutannya yang hangat di kalangan pengumpul setem yang memilih tema burung sebagai koleksi mereka. Sampul kenangan kedua-dua negara agak sukar dicari. Malaysia mengeluarkan sebanyak 15,000 keping sampul kenangan bagi keluaran bersama ini. Nombor siri tertera pada bahagian belakang sampul kenangan. Manakala Singapore pula hanya mengeluarkan sebanyak 8,000 keping sampul kenangan sahaja.

Khamis, April 08, 2010

Keluaran Bersama Malaysia - China: Bunga Nadir (5 Februari 2002)

Pengenalan

Bunga Nadir merupakan tema keluaran bersama antara Malaysia dan China. Setem ini merupakan setem keluaran bersama Malaysia yang pertama. Pada percubaan pertama Pos Malaysia, pada pendapat saya, setem ini tidaklah begitu menarik. Setem ini dikeluarkan atas dasar persahabatan dan kerjasama antara Pos Malaysia Berhad dan China Post. Bunga Peluru Meriam (Malaysia) dan Bunga Camellia (China) dipilih bagi menghiasi tema setem ini. Di pihak Malaysia, tambahan bunga jenis Schima brevifolia yang hanya didapati di Gunung Kinabalu menghiasi lembaran mini.

Ciri-Ciri & Perbezaan

Setem ini dikeluarkan pada 5 Februari 2002. Malaysia mengeluarkan 3 keping setem dengan nilai 30 sen dan RM1.00 serta sekeping lembaran mini bernilai RM4.00, terdapat 2 keping setem RM2.00 setiap satu pada lembaran mini tersebut.

Manakala China hanya mengeluarkan 2 keping setem dengan nilai 80 fen (kira-kira 40 sen) setiap satu. Saiz setem kedua-dua negara adalah sama. Oleh yang demikian, saya mengklasifikasikan setem keluaran Malaysia - China ini sebagai serupa (similar) atas sebab-sebab berikut:
  • Terdapat perbezaan pada format keluaran, menurut butiran teknik yang dikeluarkan Pos Malaysia, setem RM1.00 dikeluarkan sepasang (setenant). Namun begitu hanya terdapat 2 set setenant sahaja pada setiap lembaran setem. Pos Malaysia menyatakan setem yang dikeluarkan sebagai (RM1 x 2) yang boleh juga membawa maksud 2 reka bentuk setem bernilai RM1.00.
  • Setem China dikeluarkan dalam format setenant, dan format yang sama untuk kesemua setem dalam lembaran.
  • Perbezaan warna latar belakang jelas ketara pada setem 'Camellia nitidissima', setem Malaysia berlatar belakang warna biru air laut manakala setem China berlatar belakang warna kuning cair.
  • Perbezaan warna tangkai bunga 'Couroupita guianensis', warna tangkai bunga pada setem China lebih gelap berbanding setem Malaysia.
  • Terdapat tambahan perkataan 'Aubl.' pada setem Malaysia. Perkataan ini digunakan pada nama saintifik tumbuhan botani bagi memperingati jasa Jean Baptiste Christophore Fusée Aublet, iaitu seorang ahli farmasi, ahli botani dan pengembara dari France.
  • Secara keseluruhan, warna setem China lebih terang berbanding setem Malaysia.
Setem Malaysia direka bentuk oleh Hazel Design, dan dicetak menggunakan teknik lithography oleh Secura Security Printing Sdn. Bhd., menggunakan kertas tera air SPM. Kesemua setem bersaiz 30mm lebar dan 40mm panjang. Manakala lembaran mini pula bersaiz 105mm lebar dan 75mm panjang. Dengan saiz setem pada lembaran mini berukuran 30mm x 40mm dan 28mm x 38mm setiap satu. Saiz tebukan antara lubang bagi semua setem ialah 12.5.

Setem China pula direka bentuk oleh pelukis bernama Zhang Guizheng, dan dicetak menggunakan teknik photogravure oleh Beijing Postage Stamp Printing House. Setiap setem dicetak di atas kertas tidak tera air yang mempunyai nombor siri lutsinar bagi membezakannya dengan setem tiruan. Nombor siri yang dicetak adalah mengikut nombor siri pada setiap lembaran setem yang dikeluarkan. Setiap setem berukuran 30mm lebar dan 40mm panjang. Saiz tebukan antara lubang ialah 13.

Selain Setem, Apa Lagi?

Selain daripada setem dan lembaran mini. Isu keluaran bersama Malaysia - China ini juga mengeluarkan bahan-bahan filateli yang lain. Pos Malaysia Berhad mengeluarkan setem, lembaran mini, sampul surat hari pertama, dan pek cenderamata. Manakala China Post pula mengeluarkan setem, sampul surat hari pertama, kad maksima, dan folder. Kedua-dua negara juga mengeluarkan sampul kenangan bagi memperingati setem keluaran bersama ini.

Sampul Kenangan Keluaran Pos Malaysia

Sampul Kenangan Keluaran China Post dengan kerjasama China National Philatelic Corporation

Ada dijual di mana?

Set lengkap setem dan lembaran mini Malaysia dan set setem China masih boleh didapati di eBay dan Delcampe. Namun begitu, agak sukar untuk mencari sampul kenangan Malaysia dan China kerana kuantiti keluaran yang terhad. Kad maksima keluaran China juga agak jarang ditemui.