Sabtu, April 17, 2010

Keluaran Bersama Malaysia - China: Peringatan Ulang Tahun Ke-30 Hubungan Diplomatik dan Tahun Persahabatan Malaysia - China (31 Mei 2004)

Pengenalan

Malaysia hanya mengeluarkan setem keluaran bersama ketiganya pada tahun 2004. Namun begitu, keluaran ketiga ini agak unik. Ini kerana keluaran ini dianggap sebagai Concerted Joint Issue oleh IPS-JSIC. Menurut klasifikasi yang dikeluarkan oleh IPS-JSIC, keluaran bersama Malaysia - China ini diklasifikasikan sebagai 'cetakan semula yang disesuaikan', membawa maksud, sebuah negara (dalam hal ini, China) menggunakan reka bentuk setem yang telah dikeluarkan sebelumnya dan menyesuaikannya untuk keluaran bersama dengan negara lain (Malaysia), dan negara itu turut menggunakan reka bentuk yang sama. Keluaran bersama ini disahkan dengan terdapatnya pengeluaran sampul kenangan.

Menurut IPS-JSIC, keluaran bersama Malaysia - China ini unik kerana ia membuka skop baharu dalam kajian berkenaan setem keluaran bersama. Apabila saya meneliti jurnal (Ogos 2004) yang dikeluarkan, IPS-JSIC menyatakan bahawa 'tiada pengesahan dibuat oleh China Post berkenaan keluaran bersama ini'. Namun begitu, misteri terjawab apabila keluaran bersama ini sebenarnya merupakan keluaran Pos Malaysia Berhad dan China National Philatelic Corporation (CNPC). CNPC merupakan agensi utama yang dibenarkan oleh China Post untuk menjual setem, bahan-bahan filateli dan perkhidmatan filateli lain kepada umum. Ia juga merupakan agensi milik kerajaan China sepenuhnya. IPS-JSIC, pada jurnal keluaran Ogos 2004 juga akhirnya memperakui bahawa setem yang dikeluarkan adalah keluaran bersama dengan menggunakan klasifikasi yang berbeza.

Keluaran bersama Malaysia - China ini dikeluarkan bagi memperingati 30 tahun hubungan diplomatik Malaysia - China. Motif kapal layar dan bendera terdapat pada semua setem yang dikeluarkan. Lanchara merupakan kapal layar tradisional Melayu yang bukan saja berfungsi sebagai kapal dagang, malah boleh menjadi kapal perang. Manakala bagi mewakili China, motif kapal layar yang biasa disebut 'Tongkang Cina' digunakan. Terdapat tambahan lembaran mini yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia Berhad dengan lukisan Masjid Niujie, Beijing, China dan Masjid Kampung Hulu, Melaka, Malaysia menghiasi lembaran mini berkenaan.

Ciri-Ciri & Perbezaan

Setem ini dikeluarkan pada 31 Mei 2004. Malaysia mengeluarkan 4 keping setem, 2 keping bernilai 30 sen (60 sen sepasang) dan 2 keping bernilai RM1.00 (RM2.00 sepasang). Lembaran mini juga dikeluarkan dengan nilai RM2.00. Bagi pihak China, mereka hanya mengeluarkan sekeping setem yang bernilai 80 fen (kira-kira 40 sen). Seperti yang dinyatakan sebelum ini, setem yang menunjukkan lukisan 'Tongkang Cina' merupakan setem yang pernah dikeluarkan oleh China Post pada 5 Ogos 2003. Ia dikeluarkan dengan menggunakan tajuk 'Plain Sailing', atau pelayaran biasa. Setem 'Plain Sailing' ini merupakan setem individu (personalised stamp) yang boleh diubahsuai mengikut citarasa pengguna. Pada bahagian label tertera perkataan dalam tulisan cina yang bermaksud 'restu'.

Berbeza dengan 2 keluaran sebelum ini, setem keluaran bersama Malaysia - China ini diklasifikasikan sebagai setara (equivalent) atas sebab-sebab berikut:
  • Perbezaan antara setem keluaran Malaysia dan China begitu ketara. Terutamanya dari segi format keluaran. Malaysia mengeluarkan setem 'Tongkang Cina' ini secara menegak. Manakala China mengeluarkannya secara melintang.
  • Pereka bentuk setem yang berlainan.
  • Oleh kerana setem Malaysia dikeluarkan secara menegak, lukisan asal setem ini kelihatan seperti 'dipotong' sedikit bagi menyesuaikannya dengan format menegak. Keadaan ini boleh dilihat pada bahagian kiri dan kanan setem, lukisan awan dan layar kapal kelihatan seperti 'dipotong'. Terdapat tambahan bentuk bulat matahari pada bahagian atas.
Terdapat sedikit perbezaan tajuk pada setem dan lembaran mini Malaysia. Tajuk asal keluaran bersama ini ialah Peringatan Ulang Tahun Ke-30 Penubuhan Hubungan Diplomatik dan Tahun Persahabatan Malaysia - China. Tajuk tersebut digunakan pada lembaran mini, namun begitu, mungkin disebabkan kekurangan ruang, tajuk keluaran tersebut dipendekkan sebagai 30 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia - China pada setiap setem yang dikeluarkan.

Setem Malaysia direka bentuk oleh Hazel Design, dan dicetak menggunakan teknik lithography oleh Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd., menggunakan kertas tera air SPM. Kesemua setem bersaiz 30mm lebar dan 40mm panjang. Manakala lembaran mini pula bersaiz 100mm lebar dan 70mm panjang. Dengan saiz setem pada lembaran mini berukuran 60mm lebar dan 40mm panjang. Saiz tebukan antara lubang bagi semua setem ialah 14.

Manakala setem China pula direka bentuk oleh Feng Xiaohong. Ia dicetak menggunakan teknik offset oleh Beijing Postage Stamp Printing House, menggunakan kertas tidak tera air yang mempunyai nombor siri lutsinar bagi membezakannya dengan setem tiruan. Nombor siri yang dicetak adalah mengikut nombor siri pada setiap lembaran setem yang dikeluarkan. Setiap setem bersaiz 30mm lebar dan 30mm panjang. Dengan tambahan label berukuran 20mm lebar dan 30mm panjang. Menjadikan saiz setem termasuk label ialah 50mm lebar dan 30mm panjang. Saiz tebukan antara lubang ialah 12. Bagi keluaran khas ini, pihak China telah menggunakan label khas yang memaparkan bendera China dan Malaysia. Di samping itu juga, sepucuk sampul kenangan telah dikeluarkan untuk memperingati sambutan ulang tahun ini. Sampul surat dan cop keluaran hari pertama direka bentuk oleh Ma Xiaoling.

Selain Setem, Apa Lagi?

Selain setem dan lembaran mini, Pos Malaysia juga mengeluarkan bahan-bahan filateli lain seperti sampul surat hari pertama, pek cenderamata dan folder. Malaysia tidak mengeluarkan sampul kenangan istimewa tetapi menggunakan sampul surat hari pertama bagi tujuan berkenaan. Manakala CNPC pula hanya mengeluarkan setem dan sepucuk sampul kenangan. Sedikit keunikan pada sampul-sampul ini apabila reka bentuknya seakan sama.


Namun begitu, bagi menambahkan misteri keluaran bersama ini, setem China hanya dikeluarkan pada sampul kenangan. Walaupun ianya sah digunakan sebagai setem pos, tetapi tiada yang dijual secara berasingan. Terdapat juga sedikit perbezaan pada cap tarikh keluaran hari pertama. Cap tarikh Malaysia hanya menunjukkan tarikh dan nama tempat biro filateli. Manakala cap tarikh China menunjukkan tarikh dan tajuk keluaran bersama ini sahaja.

Sampul Kenangan Keluaran Pos Malaysia
Sampul Kenangan Keluaran China National Philatelic Corporation

Ada dijual di mana?

Setem dan lembaran mini Malaysia masih banyak boleh didapati di eBay dan Delcampe. Dengan sedikit kesabaran, sampul kenangan Malaysia masih boleh didapati di eBay. Begitu juga dengan sampul kenangan China. Namun begitu, sekiranya ada sesiapa yang memiliki setem China yang masih tidak digunakan, pasti ia merupakan setem yang 'lolos' daripada kawalan CNPC atau mungkin juga setem tiruan. Dan harganya pasti melambung sekiranya setem tersebut adalah asli.

Tiada ulasan: