Sabtu, November 01, 2014

Keluaran Bersama Kuala Lumpur, Malaysia - Hong Kong, China: Makanan Tempatan (9 Oktober 2014)

Pengenalan

Keluaran bersama ini merupakan yang kesembilan dalam sejarah pengeluaran setem keluaran bersama di Malaysia dan yang ketiga belas di Hong Kong, China. Untuk rekod, keluaran bersama kali ini merupakan yang kedua dalam tahun 2014 setelah keluaran bersama dengan Pos Indonesia pada 24 Mei 2014. Tahun 2014 juga merupakan kali ketiga Pos Malaysia mengeluarkan dua keluaran bersama dalam tempoh setahun, setelah kali terakhir mereka melakukannya pada tahun 2007.

Tajuk untuk keluaran bersama Pos Malaysia dan Hongkong Post ini adalah Makanan Tempatan yang menampilkan makanan-makanan yang biasa ditemui di Malaysia dan di Hong Kong, China. Malaysia sememangnya terkenal dengan Nasi Lemak dan Satay manakala Wafel Telur dan Poon Choi pula merupakan makanan yang tidak asing lagi di Hong Kong, China. Memandangkan blog ini bukanlah blog masakan, maka proses pembuatan makanan-makanan ini tidak akan diterangkan secara terperinci. Cukup hanya menerangkan serba ringkas tentang sejarah makanan-makanan yang terpilih bagi menghiasi setem keluaran bersama ini.

Secara ringkas, Nasi Lemak merupakan sajian masyarakat Melayu sejak beratus-ratus tahun lamanya. Namun begitu sejarah Nasi Lemak hanya direkodkan buat kali pertama pada tahun 1909 oleh Sir Richard Olaf Windstedt, pegawai Kerajaan British di Malaya menerusi bukunya yang bertajuk "The Circumstances of Malay Life: The kampong. The house. Furniture. Dress. Food." Nama Nasi Lemak itu sendiri terbit daripada rasa nasi yang 'berlemak' apabila dimasak bersama santan.

Satay pula merupakan makanan yang biasa ditemui di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Namun begitu, menurut penulis bidang masakan, Jennifer Brennan pada 1988 menerusi "Kitchen Daily: Satay" menyatakan bahawa walaupun Thailand dan Malaysia mengakui Satay berasal dari tempat mereka, namun Satay sebenarnya berasal dari Jawa, Indonesia. Satay diilhamkan daripada pembuatan Kebab India yang dibawa oleh pedagang India Muslim. Malah India juga tidak boleh mengaku sebagai negara asal Satay ini, kerana ia adalah warisan daripada pengaruh masakan dari Timur Tengah. Satay atau Sate ini dikatakan telah mula diperkenalkan sejak awal kurun ke-19. Satay telah diundi sebagai makanan paling lazat nombor 14 daripada 50 makanan paling lazat di dunia. Undian ini telah diadakan oleh CNN Go pada tahun 2011.

Sejarah asal-usul Wafel Telur di Hong Kong, China tidak dapat diketahui secara tepat. Ia dikatakan mula terkenal di sekitar Hong Kong, China pada tahun 1950-an. Namun begitu, ia sememangnya makanan tempatan yang paling popular di Hong Kong, China apabila tersenarai dalam rancangan televisyen "TVB: Top Eats 100" pada tahun 2012 sebagai makanan jalanan nombor 1 daripada 100 makanan jalanan paling popular di Hong Kong, China.

Poon Choi, atau secara umumnya bermaksud hidangan mangkuk besar merupakan makanan tradisi yang berasal dari perkampungan masyarakat Kantonis di New Territories, Hong Kong, China. Dikatakan Poon Choi telah mula dicipta pada penghujung zaman Dinasti Song iaitu sekitar penghujung kurun ke-13. Ia tercipta ekoran peristiwa maharaja muda Dinasti Song yang berundur ke Guandong dan Hong Kong, China daripada penaklukan tentera Mongol. Penduduk tempatan telah memasak makanan untuk dihidangkan kepada maharaja dan bala tenteranya. Oleh kerana kekurangan pinggan mangkuk, mereka telah menghidangkan makanan yang telah dimasak ke dalam beberapa bekas pencuci pinggan besar yang diperbuat daripada kayu untuk dimakan secara beramai-ramai. Secara tidak langsung, Poon Choi telah tercipta rentetan daripada peristiwa ini.

Bunga Bauhinia (Bauhinia blakeana)
Bunga Raya (Hibiscus rosa-sinensis)
Selain daripada paparan gambar-gambar makanan yang menyelerakan, setem keluaran bersama ini juga memaparkan gambar bunga kebangsaan kedua-dua buah negara dan wilayah autonomi ini serta percikan dakwat pelbagai warna yang menghiasi latar belakang pada setiap setem. Sejarah Bunga Raya (Hibiscus rosa-sinensis) secara ringkasnya telah diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pada 28 Julai 1960. Ia kekal sebagai bunga kebangsaan tatkala Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Pemilihannya sebagai bunga kebangsaan dianggap tepat kerana 5 kelopak Bunga Raya melambangkan 5 prinsip Rukun Negara yang mula diperkenalkan pada 31 Ogos 1970. Manakala Bunga Wilayah Hong Kong, China pula ialah Bunga Bauhinia (Bauhinia blakeana). Ia juga dikenali sebagai Pokok Orked Hong Kong. Ia telah dipilih sebagai bunga wilayah oleh Majlis Bandaraya Hong Kong, China pada tahun 1965. Seterusnya setelah Wilayah Hong Kong, China dikembalikan kepada Negara China pada 1 Julai 1997, Bunga Bauhinia telah digunakan sebagai simbol wilayah pada bendera, jata dan duit syiling.

Ciri-Ciri & Perbezaan

Keluaran bersama kali ini menampilkan empat makanan tempatan yang masing-masing dua mewakili Malaysia dan dua mewakili Hong Kong, China. Pembaca pasti tertanya-tanya, mengapa saya seringkali menulis nama Wilayah Hong Kong, China ini sebagai 'Hong Kong, China'? Ini kerana Hong Kong, China merupakan sebahagian daripada Negara China setelah kedaulatannya diserahkan kembali oleh United Kingdom kepada China pada 1 Julai 1997. Sehingga kini, Hong Kong, China merupakan sebuah wilayah autonomi yang dikenali sebagai "Special Administrative Region (S.A.R.).

Pembaca juga mungkin tertanya-tanya, mengapa pentadbir pos Hong Kong, China ditulis sebagai 'Hongkong Post' dan bukannya 'Hong Kong Post'? Ini kerana Hongkong Post telah ditubuhkan pada 28 Ogos 1841. Pada masa itu, nama wilayah ini kebiasaannya ditulis sebagai 'Hongkong' sehinggalah Kerajaan British Hong Kong mewartakan penggunaan nama 'Hong Kong' pada 3 September 1926. Oleh yang demikian, Hongkong Post mengekalkan namanya memandangkan institusi ini telah hampir 100 tahun beroperasi di wilayah ini. Antara institusi-institusi lain yang turut mengekalkan nama asalnya ialah Hongkong Electric dan The Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited (HSBC). Untuk makluman pembaca juga, Hong Kong Post merupakan akhbar mingguan percuma yang diterbitkan dalam Bahasa Jepun pada setiap hari Jumaat di Hong Kong, China.   

Set Setem keluaran Pos Malaysia.
Lembaran Cenderamata keluaran Pos Malaysia.
Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan tajuk keluaran yang diberikan oleh Pos Malaysia, ini kerana setem keluaran bersama ini adalah keluaran bersama antara sebuah negara dengan wilayah autonomi, dan bukannya antara sebuah ibu negara dengan wilayah autonomi. Maka dengan itu tajuk "Makanan Tempatan: Keluaran Bersama Kuala Lumpur, Malaysia - Hong Kong, China" adalah tidak tepat. Sebaliknya, Hongkong Post menggunakan tajuk yang tepat iaitu "Hong Kong, China - Malaysia Joint Issue on Local Food".

Setem keluaran bersama ini dilancarkan pada 9 Oktober 2014. Namun begitu, atas sebab-sebab yang tidak dinyatakan, Pos Malaysia hanya mula menjual keluaran ini pada 17 dan 18 Oktober 2014. Manakala di Hong Kong, China, selain jualan di kaunter pos, Hongkong Post juga ada menjual setem keluaran bersama ini di atas talian pada tarikh yang sama dengan tarikh keluaran ini dilancarkan. Sistem jualannya dibuka seawal jam 8.00 pagi dan telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Mereka mengenakan kuota 5 set bahan filateli bagi setiap pelanggan tidak kira sama ada melalui kaunter atau di atas talian.

Set Setem keluaran Hongkong Post.
Pos Malaysia dan Hongkong Post mengeluarkan set yang mengandungi empat keping setem dan lembaran cenderamata. Nilai bagi setiap setem Malaysia adalah sama iaitu RM1.40 setiap satu. Nilai RM1.40 merupakan bayaran pos bagi penghantaran surat biasa melalui udara dari Malaysia ke Hong Kong, China yang tidak melebihi 20 gram. Manakala setem-setem Hong Kong, China pula mempunyai nilai-nilai yang berbeza, iaitu HK$1.70 (kira-kira 73 sen), HK$2.90 (kira-kira RM1.25), HK$3.70 (kira-kira RM1.59) dan HK$5.00 (kira-kira RM2.15). Bagi penghantaran surat biasa tidak melebihi 20 gram dari Hong Kong, China ke Malaysia pula, setem bernilai HK$2.90 diperlukan. Oleh yang demikian, secara umumnya nilai-nilai setem yang dikeluarkan adalah menepati penggunaan bagi tujuan pengeposan surat biasa melalui udara antara kedua-dua buah negara dan wilayah autonomi ini.

Lembaran Cenderamata keluaran Hongkong Post.
Bagi setem keluaran bersama kali ini, saya mengklasifikasikannya sebagai setem seiras (identical) atas sebab-sebab berikut:
  • Walaupun reka bentuk setem-setem ini kelihatan sama, namun perbezaan yang paling ketara adalah pada saiz setem. Setem keluaran Malaysia bersaiz 30mm lebar dan 50mm panjang. Manakala saiz setem keluaran Hong Kong, China agak kecil sedikit iaitu 28 mm lebar dan 45 mm panjang.
  • Warna-warna pada setem-setem keluaran Malaysia lebih terang berbanding setem-setem keluaran Hong Kong, China.
  • Terdapat bingkai pada kedua-dua sisi menegak pada setem-setem keluaran Hong Kong, China.
  • Terdapat perbezaan pada susun atur maklumat setem seperti nama negara, tahun keluaran, nilai setem, tajuk keluaran dan nama makanan. Namun begitu, susunan gambar makanan, gambar bunga dan latar belakang adalah sama. 
    Rajah menunjukkan perbezaan susun atur maklumat setem. Petak biru mewakili setem Malaysia manakala petak jingga mewakili setem Hong Kong, China. Simbol < dan > menunjukkan kedudukan maklumat sama ada berada di sebelah kiri atau kanan setem. 
  • Sedikit perbezaan pada susunan setem, susunan setem-setem Malaysia boleh diubah dengan mudah kerana tiada perbezaan pada nilai setem. Namun begitu, jika merujuk pada susunan setem pada lembaran setem dan pada poster promosi, susunan asal setem Malaysia adalah seperti rajah di bawah: 
    Rajah menunjukkan susunan setem Malaysia. Petak biru mewakili makanan Malaysia dan petak jingga mewakili makanan Hong Kong, China.
  • Susunan setem Hong Kong, China pula adalah mengikut nilai setem masing-masing. Susunan setem Hong Kong, China adalah seperti rajah di bawah:
    Rajah menunjukkan susunan setem Hong Kong, China. Petak jingga mewakili makanan Hong Kong, China dan petak biru mewakili makanan Malaysia.
  • Lembaran cenderamata Malaysia direka bentuk dalam format menegak manakala lembaran cenderamata Hong Kong, China direka bentuk dalam format melintang. Namun yang demikian, setem-setem pada lembaran cenderamata dikeluarkan dalam bentuk sepasang (se-tenant). Oleh yang demikian, boleh dirumuskan bahawa setem keluaran bersama ini dikeluarkan dalam 2 versi, iaitu 4 keping setem berasingan dan 2 keping setem sepasang (se-tenant).
Jadual di bawah menunjukkan butiran-butiran teknikal setem keluaran Pos Malaysia dan Hongkong Post:

Butiran Teknikal Setem

Nama Negara / Wilayah Autonomi
Malaysia
Hong Kong, China
Tajuk Keluaran
Makanan Tempatan: Keluaran Bersama Kuala Lumpur, Malaysia - Hong Kong, China
Hong Kong, China - Malaysia Joint Issue on Local Food
Nilai Setem
RM1.40 x 4 reka bentuk
HK$1.70, HK$2.90, HK$3.70 dan HK$5.00
Saiz Setem
30mm x 50mm
28mm x 45mm
Saiz Lembaran Cenderamata
90mm x 170mm
135mm x 85mm
Tebukan
14
13.5 x 13.25 (satu tebukan berbentuk elips di bahagian tengah sisi menegak setem)
Kertas
Kertas keselamatan bersalut fosfor
Kertas keselamatan dengan fiber
Proses Percetakan
Litografi
Litografi
Pereka Bentuk Setem
Lim Kooi Yong (K.Y. Lim),
Reign Associates Sdn. Bhd.
Tsoi Ka-ching
Pencetak
Cartor Security Printing, France
Cartor Security Printing, France
Kandungan Setem Dalam Setiap Helaian
20 keping setem (10 keping setem x 2 reka bentuk)
25 keping setem

Pos Malaysia juga mencetak risalah yang mengandungi maklumat-maklumat yang ringkas dan padat berkenaan dengan setem-setem yang dikeluarkan. Seperti keluaran-keluaran setem Malaysia yang lain, risalah ini didatangkan bersama dengan sampul surat hari pertama. Maklumat-maklumat ini disampaikan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Manakala Hongkong Post pula mencetak maklumat-maklumat berkenaan setem-setem yang dikeluarkan pada bahagian belakang sampul surat hari pertama. Maklumat-maklumat ini disampaikan dalam Bahasa Mandarin Tradisional dan Bahasa Inggeris.  

Selain Setem, Apa Lagi?

Pos Malaysia mengeluarkan 4 keping setem, lembaran setem, lembaran cenderamata, sampul surat hari pertama dan folder. Manakala Hong Post pula mengeluarkan 4 keping setem, lembaran setem, lembaran cenderamata, sampul surat hari pertama, pek cenderamata dan pek cenderamata khas yang mengandungi setem-setem kedua-dua buah negara dan wilayah autonomi.

Jadual di bawah menunjukkan senarai harga bahan-bahan filateli yang dijual oleh Pos Malaysia dan Hongkong Post:

Senarai Harga Bahan-Bahan Filateli

Nama Negara / Wilayah Autonomi
Malaysia
Hong Kong, China
Setem
RM5.60
HK$13.30 (+/- RM5.72)
Lembaran Setem
RM56.00 - 2 lembaran
HK$332.50 - 4 lembaran (+/- RM142.93)
Lembaran Cenderamata
RM5.60
HK$13.30 (+/- RM5.72)
Sampul Surat Hari Pertama (Kosong)
50 sen
HK$1.20 (+/- 52 sen)
Sampul Surat Hari Pertama (Setem)
RM7.10
HK$17.00 (+/- RM7.30)
Sampul Surat Hari Pertama (Lembaran Cenderamata)
RM7.10 - dilakukan secara persendirian. Tidak dikeluarkan oleh Pos Malaysia kerana saiz sampul surat yang kecil.
HK$17.00 (+/- RM7.30)
Sampul Surat Hari Pertama (Sampul Kenangan)
RM16.10 - hanya ditawarkan kepada pemegang akaun SODA, iaitu Sampul Surat Hari Pertama (Setem) kedua-dua buah negara.
HK$30.00 (+/- RM12.88)
Folder
RM6.00
Tiada
Pek Cenderamata
Tiada
HK$24.00 (+/- RM10.31)
Pek Cenderamata Khas
Tiada
HK$48.00 (+/- RM20.62)

Sampul Surat Hari Pertama (Setem) keluaran Pos Malaysia.
Sampul Surat Hari Pertama (Lembaran Cenderamata). Tidak dikeluarkan secara rasmi oleh Pos Malaysia, hanya dilakukan secara persendirian.
Sampul Surat Hari Pertama (Setem) keluaran Hongkong Post.
Sampul Surat Hari Pertama (Lembaran Cenderamata) keluaran Hongkong Post.
Sampul Kenangan

Amat sayang sekali kerana Pos Malaysia tidak mengeluarkan Sampul Kenangan bagi keluaran bersama ini. Sebaliknya hanya Sampul Surat Hari Pertama (Setem) Malaysia dan Hong Kong, China sahaja yang ditawarkan kepada pemegang akaun SODA. Maka yang demikian, peminat-peminat setem keluaran bersama di Malaysia telah mengambil inisiatif sendiri dengan menampal setem-setem Malaysia pada Sampul Surat Hari Pertama (Setem) Hong Kong, China dan telah membatalkan setem-setem tersebut menggunakan cop hari pertama yang disediakan oleh Pos Malaysia.

Hongkong Post pula telah mengeluarkan Sampul Kenangan dan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat setem kedua-dua negara dan wilayah autonomi ini. Perbezaan ketara pada Sampul Kenangan yang dikeluarkan oleh Hongkong Post dan Sampul Kenangan yang dibatalkan di Malaysia adalah pada cop hari pertama Malaysia. Cop hari pertama Malaysia yang digunakan oleh Hongkong Post tiada perkataan 'Kuala Lumpur'. Sedangkan di Malaysia, setiap cop hari pertama mempunyai nama ibu negeri, daerah atau pejabat pos tempat cop hari pertama itu digunakan.

Sampul Kenangan Malaysia. Tidak dikeluarkan secara rasmi oleh Pos Malaysia, hanya dilakukan secara persendirian.
Sampul Kenangan Hong Kong, China. Keluaran rasmi daripada Hongkong Post tiada perkataan 'Kuala Lumpur' pada cop hari pertama Malaysia. Sekiranya terdapat perkataan 'Kuala Lumpur' atau nama-nama tempat lain, maka setem-setem pada sampul itu telah dibatalkan di Malaysia.
Penutup

Secara umumnya makanan tempatan sememangnya menjadi daya tarikan pelancong-pelancong untuk berkunjung ke sesuatu tempat. Maka dengan pengenalan makanan tempatan popular dalam setem keluaran bersama ini secara tidak langsung merupakan salah satu langkah promosi yang tepat bagi menggalakkan aktiviti pelancongan di Malaysia dan Hong Kong, China. Sememangnya tidak sukar untuk mencari makanan-makanan tempatan ini, hanya yang membezakannya ialah sama ada makanan yang dimakan itu lazat atau sebaliknya. Segalanya bergantung kepada cita rasa dan selera diri sendiri.

Setem-setem keluaran bersama ini juga masih boleh didapati dengan mudah di pejabat-pejabat pos, laman perniagaan elektronik seperti eBay, Delcampe, Lelong, Mudah dan sebagainya. Setakat pada masa penulisan ini dibuat, saya dimaklumkan lembaran cenderamata dan Sampul Kenangan keluaran Hongkong Post dijual pada harga yang agak tinggi ekoran permintaan yang menggalakkan bukan sahaja daripada peminat setem di Malaysia dan Hong Kong, China, malah daripada peminat setem keluaran bersama seluruh dunia.

Penghargaan dan Daftar Pustaka
  1. Pos Malaysia Berhad (http://www.pos.com.my)
  2. Hongkong Post (http://www.hongkongpost.hk)
  3. Forum Persatuan Setem Malaysia (http://www.psmonline.org/forum)
  4. Joint Stamp Issues Society (http://www.jointstampissues.net/)
  5. Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (http://prpm.dbp.gov.my/) 
  6. Sejarah Nasi Lemak (http://en.wikipedia.org/wiki/Nasi_lemak)
  7. Sejarah Satay (http://en.wikipedia.org/wiki/Satay)
  8. Sejarah Wafel Telur (http://en.wikipedia.org/wiki/Egg_waffle)
  9. Sejarah Poon Choi (http://en.wikipedia.org/wiki/Poon_choi)
  10. Sejarah Bunga Raya (http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/profil-malaysia/7959-bunga-kebangsaan.html)
  11. Sejarah Bunga Bauhinia (http://herbarium.gov.hk/SpecialTopicsDetails.aspx?oneId=20&SectionId=3)
  12. Gambar-gambar dalam penulisan ini diambil dan diubah suai daripada sumber-sumber berikut:
    • Nasi Lemak (http://www.posterkini.com/8-kedai-nasi-lemak-di-lembah-klang-anda-mesti-cuba/)
    • Satay (http://www.applefoodees.com/%E2%80%98klasik%E2%80%99-satay-station-at-taman-ehsan-kepong/)
    • Wafel Telur (http://www.tripadvisor.com/LocationPhotoDirectLink-g29105-i18667145-Arcadia_California.html)
    • Poon Choi (http://kaleidoscope.cultural-china.com/en/8Kaleidoscope6372.html)
    • Bunga Raya (http://indahnya-bahasa-kita.blogspot.com/2011/03/syair-bunga-raya.html)
    • Bunga Bauhinia (http://www.freundfloweringtrees.com/bauhinia-blakeana-hong-kong-orchid.html)
    • Gambar-gambar bahan filateli adalah daripada koleksi peribadi saya sendiri.