Ahad, Disember 12, 2010

Keluaran Bersama Malaysia - Korea: Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia - Korea (23 Februari 2010)

Pengenalan

Setelah hampir 3 tahun tanpa sebarang setem keluaran bersama, Pos Malaysia Berhad telah bekerjasama dengan Korea Post untuk mengeluarkan setem keluaran bersama bersempena Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia - Korea. Bagi menampilkan persamaan kedua-dua negara, harimau telah digunakan sebagai tema keluaran bersama ini. Harimau Malaya atau Panthera tigris jacksoni mewakili Malaysia manakala Harimau Korea atau Panthera tigris altaica mewakili Korea. Keluaran kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan, khususnya daripada kaum Cina kerana secara kebetulan, tahun 2010 merupakan 'Tahun Harimau' mengikut Kalendar Cina.


Harimau Malaya juga dikenali sebagai Harimau Belang dan hanya boleh didapati di Semenanjung Malaysia. Ia merupakan lambang negara yang melambangkan keberanian dan kekuatan rakyat Malaysia. Harimau Malaya merupakan antara subspesies harimau terkecil berbanding subspesies harimau yang lain. Berat seekor Harimau Malaya jantan pada puratanya ialah 120 kilogram dengan panjang 237 sentimeter. Manakala Harimau Malaya betina pula pada puratanya seberat 100 kilogram dan panjangnya lebih kurang 200 sentimeter.


Harimau Korea, atau juga dikenali sebagai Harimau Siberia merupakan subspesies terbesar dalam keluarga harimau. Seekor Harimau Korea boleh mencapai berat sehingga 290 kilogram dan panjang sehingga 400 sentimeter. Bulunya lebih tebal dan kasar berbanding harimau lain namun pada musim sejuk, bulunya lebih padat, panjang dan lembut.

Memandangkan terdapat tiga daripada sembilan subspesies harimau yang telahpun pupus, iaitu Harimau Caspian, Javan dan Balinese, adalah diharapkan agar Keluaran Bersama Malaysia-Korea ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat dunia untuk menghargai dan mengambil langkah yang wajar bagi memastikan harimau-harimau ini terus hidup untuk tatapan generasi akan datang.

Ciri-Ciri & Perbezaan

Setem ini dikeluarkan pada 23 Februari 2010. Malaysia mengeluarkan 2 keping setem sepasang (setenant) dengan nilai 50 sen setiap satu (RM1.00 sepasang). Manakala Korea juga mengeluarkan 2 keping setem sepasang (setenant) dengan nilai 250 won setiap satu (500 won sepasang, kira-kira RM1.37). Berukuran 30mm lebar dan 50mm panjang, saiz setem kedua-dua negara adalah sama. Oleh yang demikian, saya mengklasifikasikan setem keluaran Malaysia - Korea ini sebagai seiras (identical) atas sebab-sebab berikut:
  • Terdapat perbezaan pada format keluaran, setem Malaysia dikeluarkan dalam format sepasang (setenant), dan format yang sama untuk kesemua setem dalam lembaran. Terdapat 20 keping setem atau 10 set setem dalam setiap lembaran.
  • Setem Korea pula dikeluarkan dalam dua format, iaitu dua keping setem berasingan dan setem sepasang (setenant). Dua keping setem yang dilekatkan secara berasingan pada dua keping sampul surat hari pertama menguatkan fakta ini. Berdasarkan maklumat daripada laman web Korea Post, dinyatakan bahawa format setem Korea ialah 4 x 4 + 2, bermaksud setiap lembaran mengandungi empat set berasingan dan satu set sepasang (setenant). Terdapat 10 keping setem atau 5 set setem dalam setiap lembaran.
  • Selain nama negara, tahun keluaran dan denominasi, Setem Malaysia hanya memaparkan nama harimau dalam Bahasa Inggeris dan nama saintifik. Manakala Setem Korea memaparkan nama harimau dalam Bahasa Korea, nama saintifik dan tajuk keluaran bersama dalam Bahasa Korea dan Bahasa Inggeris.
  • Secara keseluruhan, warna dan garisan lukisan harimau pada Setem Malaysia lebih terang dan jelas berbanding Setem Korea, menjadikannya lebih menarik.

Setem Malaysia direka bentuk oleh Reign Associates Sdn. Bhd., dan dicetak menggunakan teknik lithography oleh Percetakan Keselamatan Nasional Sdn. Bhd., menggunakan kertas tera air SPM. Kesemua setem bersaiz 30mm lebar dan 50mm panjang. Saiz tebukan antara lubang bagi semua setem ialah 13.5, kecuali setem paling kanan dalam setiap lembaran, saiz tebukan bahagian kanan setem ialah 14.

Setem Korea pula direka bentuk oleh pereka bernama Kim So-Jeong, dan dicetak menggunakan teknik offset, five colors oleh Korea Minting and Security Printing Corporation (KOMSCO). Setiap setem dicetak di atas kertas tidak tera air. Setiap setem berukuran 30mm lebar dan 50mm panjang. Saiz tebukan antara lubang ialah 13. Setiap setem keluaran Korea mempunyai nombor keluaran yang unik. Untuk keluaran bersama ini, setem-setem Korea bernombor 2721 dan 2722. Nombor keluaran ini merupakan bilangan setem yang pernah dikeluarkan oleh Korea Post sejak dari zaman penubuhannya. Sebanyak 750,000 keping setem dikeluarkan untuk keluaran bersama ini.

Selain Setem, Apa Lagi?

Pos Malaysia Berhad mengeluarkan setem, sampul surat hari pertama, dan folder. Manakala Korea Post pula mengeluarkan setem, sampul surat hari pertama dan brosur berserta setem bercop tarikh keluaran. Kedua-dua negara juga mengeluarkan sampul kenangan bagi memperingati setem keluaran bersama ini.

Sampul Kenangan Keluaran Pos Malaysia

Sampul Kenangan Keluaran Korea Post

Ada dijual di mana?

Set lengkap setem Malaysia dan set setem Korea serta sampul surat hari pertama keluaran kedua-dua negara masih boleh didapati di eBay dan Delcampe dengan mudah. Malah, kedua-dua set setem ini masih boleh didapati di laman web jualan Pos Malaysia dan Korea Post. Namun begitu, agak sukar untuk mencari sampul kenangan Malaysia dan Korea kerana kuantiti keluaran yang terhad. Brosur berserta setem bercop tarikh keluaran Korea juga agak jarang ditemui.

1 ulasan:

benjamin dart berkata...

your write up is excellent.My blog is http://philatelyandpostcards2012.blogspot.com/